KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa mengambil tindakan sewajarnya terhadap tindakan sebuah akhbar Cina yang didakwa menyiarkan tajuk poster (thumbnail) yang terpesong daripada apa yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Dr. Armand Azha Abu Hanifah berkata, walaupun akhbar berkenaan sudah menukar kandungan tersebut, namun ia tidak ‘memadam’ kesalahan yang dilakukan.
Apatah lagi kesalahan itu melibatkan titah Yang di-Pertuan Agong, sekali gus boleh mengundang salah faham serta menjejaskan keharmonian negara.
“Titah Yang di-Pertuan Agong adalah berlandaskan Perlembagaan Negara, khususnya berkaitan kedudukan dan penggunaan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan.
“Perkara ini wajib dihormati dan diraikan oleh seluruh rakyat Malaysia, bukannya dipersenda atau diputar belit oleh mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung mendedahkan sebuah akhbar Cina didakwa menyiarkan tajuk poster yang terpesong daripada apa yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkait isu bahasa Melayu.
Sehubungan itu, Firdaus Wong turut membuat laporan polis di Balai Polis Damansara Utama.
Dalam pada itu, Armand Azha berkata, kebebasan media tidak boleh dijadikan alasan untuk melanggar sensitiviti termasuk institusi Raja-Raja dan prinsip asas negara.
“Sikap biadab seperti ini tidak boleh dinormalisasikan dan mesti diberi pengajaran agar tidak berulang pada masa hadapan,” katanya.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim semalam bertitah, sebarang usaha untuk mengadakan sistem pendidikan baharu mesti dibuat selari dengan dasar pendidikan kebangsaan.
Dalam Titah Diraja sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen semalam, Sultan Ibrahim bertitah bahasa Melayu mesti menjadi bahasa utama kerana ia adalah Bahasa Kebangsaaan. – MalaysiaGazette
















