Bapa kepada Altantuya Shaariibuu, Setev Shaariibuu. Foto Arkib MalaysiaGazette

PUTRAJAYA – Keluarga model Mongolia, mendiang Altantuya Shaariibuu hanya mendapat ganti rugi berjumlah RM1.41 juta selepas Mahkamah Rayuan hari ini mengurangkannya daripada RM5 juta yang ditaksirkan oleh Mahkamah Tinggi, tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Hashim Hamzah memutuskan demikian secara sebulat suara selepas membenarkan rayuan kerajaan dan penganalisis politik, Abdul Razak Baginda terhadap kuantum dalam kes saman berkaitan kematian Altantuya, 20 tahun lalu.

Selepas menyemak jumlah kuantum, mahkamah memberikan ganti rugi teruk RM1 juta, tuntutan tanggungan RM384,000, perbelanjaan kematian RM10,000 dan perbelanjaan pengebumian RM15,000 kepada keluarga tersebut.

Beliau yang kini Hakim Besar Malaya bersidang bersama-sama Datuk Azman Abdullah dan K. Muniandy mengetepikan taksiran ganti rugi yang dibuat Mahkamah Tinggi pada 12 Februari tahun lalu.

Pada 16 Disember 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan saman yang difailkan keluarga itu terhadap empat defendan termasuk kerajaan dan Abdul Razak berhubung kematian Altantuya pada 2006.

Turut disaman, dua bekas pegawai dan anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar.

Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Vazeer Alam Mydin Meera (kini hakim Mahkamah Persekutuan) memerintahkan Azilah dan Sirul Azhar membayar ganti rugi sama. Namun kedua-duanya tidak merayu terhadap keputusan tersebut.

Pada prosiding hari ini, Peguam Kanan Persekutuan, Nik Mohd. Noor Nik Kar mewakili kerajaan dan peguam-peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili keluarga Altantuya manakala Datuk Dr. Gurdial Singh Nijar dan Abraham Au mewakili Abdul Razak.

Ketika membacakan keputusan itu, Hakim Muniandy mengekalkan liabitili yang ditanggung oleh Abdul Razak, Azilah dan Sirul Azhar kerana bukti yang dikemukakan sangat menyakinkan dan komprehensif berhubung penglibatan ketiga-tiganya dalam pembunuhan Altantuya.

Panel itu berpuas hati, penglibatan Azilah dan Sirul Azhar dibuktikan secara langsung melalui pemilikan barang peribadi mangsa sebelum membawa polis ke tempat kejadian.

Selain itu, mahkamah turut berpuas hati, penglibatan Abdul Razak dibuktikan melalui konspirasi kerana beliau bertanggungjawab manyusun rantaian kejadian termasuk menempatkan Altantuya di rumahnya sendiri sebelum mangsa ditahan.

Dalam keputusan itu, Hakim Muniandy turut menyatakan, mahkaman menilai sama ada kerajaan boleh dipertanggungjawabkan terhadap liabiliti vikarius berhubung penglibatan jenayah Azilah dan Sirul Azhar.

Panel itu berpendapat, Mahkamah Tinggi terkhilaf ketika membuktikan wujud liabiliti vikarius di pihak kerajaan.

Beliau menjelaskan, ini kerana kedua-dua anggota tersebut ketika itu bukan dalam skop tugas kepolisan ketika kedua-duanya membawa Altantuya ke kawasan terpencil dan membunuhnya manakala urusan itu diatur secara peribadi oleh Abdul Razak.

Beliau selanjutnya berkata, bahan letupan dan senjata api digunakan tanpa kebenaran yang mana ia diuruskan oleh anggota UTK.

Penghakiman itu turut menyentuh penglibatan Deputi Supritendan (ketika itu) Musa Safri yang bertindak memperkenalkan Azilah kepada Abdul Razak untuk menyelesaikan masalah yang ditimbulkan Altantuya.

“Tiada sedikit pun keterangan yang menunjukkan Azilah bertindak atas arahan kerajaan,” ujar beliau.

Sehubungan itu, mahkamah membenarkan rayuan kerajaan terhadap liabiliti dan berpuas hati ia tidak bertanggungjawab secara vikarius terhadap penglibatan ketiga-tiga defendan lain.

Mahkamah selanjutnya berpuas hati, hujahan Abdul Razak bahawa beliau tidak terlibat berkonspirasi dalam pembunuhan Altantuya, tidak boleh diterima.

Panel itu turut menolak hujahan Abdul Razak bahawa beliau tidak berniat menyebabkan kecederaan fizikal terhadap Altantuya manakala penglibatannya hanya terhad kepada urusan profesional dengan pihak polis berkaitan gangguan yang dibuat oleh model berkenaan.

“Azilah dan Sirul Azhar tidak mengenali Altantuya mahupun mempunyai hubungan dengannya. Kehadiran mereka ke hotel mangsa dan seterusnya membawa kepada penahanan wanita itu di rumah Abdul Razak, dilakukan atas maklumat Abdul Razak sendiri,” ujar Hakim Muniandy.

Menurut beliau lagi, Abdul Razak berkomunikasi secara konstan dengan Musa pada malam kejadian bunuh berlaku.

Sehubungan itu, panel berkenaan menolak rayuan Abdul Razak terhadap liabiliti dan mengekalkan dapatan Mahkamah Tinggi berhubung konspirasi.

Dalam keputusan itu, mahkamah turut menyatakan pembunuhan Altantuya berkaitan penglibatan konspirasi peringkat tertinggi terhadap individu yang tidak mampu mempertahankan diri.

Katanya, keterangan menunjukkan Altantuya menyedari dirinya dalam bahaya menyebabkannya membuat laporan polis beberapa jam sebelum penculikan.

“Dibawa ke dalam hutan ke kawasan terpencil dalam kawalan pegawai polis seharusnya menyebabkan ketakutan yang ekstrim dan tekanan mental,” katanya.

Sehubungan itu, mahkamah memberikan ganti rugi teruk RM1 juta yang perlu dibayar secara bersama oleh ketiga-tiganya terhadap ketakutan yang dialami mangsa, kehilangan maruahnya serta penyeksaan yang dihadapi.

Pada asalnya, saman itu difailkan bapa mendiang, Dr Shaariibuu Setev; ibunya, Altantsetseg Sanjaa serta dua anak lelaki Altantuya, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, pada 4 Jun 2007.

Bagaimanapun, Altanshagai meninggal dunia pada 2017 dan dikeluarkan daripada senarai plaintif. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast