PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menegaskan kesediaannya untuk membentangkan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU URA) bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, kementerian bertekad meneruskan pembentangan rang undang-undang berkenaan selepas memperoleh konsensus Jemaah Menteri.
“Kita bergantung kepada keputusan kolektif Kabinet. Sekiranya Jemaah Menteri bersetuju, mesej saya jelas bahawa KPKT sentiasa bersedia.
“Kami sentiasa bersedia untuk meneruskan bacaan kedua Rang Undang-Undang Pembaharuan Bandar kerana kami percaya perkara ini amat penting untuk masa depan pembangunan bandar negara,” katanya pada sidang media selepas Majlis Amanat 2026 KPKT di sini hari ini.
Sebelum ini, RUU Pembaharuan Semula Bandar telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Kor Ming dengan tujuan memastikan kawasan perumahan lama yang uzur, daif dan usang dapat dibangunkan semula secara lebih terancang, adil dan inklusif demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan bandar yang mampan.
Bagaimanapun, pembentangan bacaan kedua rang undang-undang itu ditangguhkan selepas beberapa ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menyuarakan hasrat supaya ia diteliti semula dengan mengambil kira kebimbangan pelbagai pihak.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, terdapat beberapa perkara yang perlu diperhalusi melalui sesi libat urus menyeluruh bersama semua pihak berkepentingan.
Menteri Luar itu turut menyatakan harapan agar KPKT menangguhkan pembentangan RUU tersebut dan mengadakan rundingan lanjut sebelum ia dibawa semula untuk diluluskan di Parlimen.
Sementara itu, Sabtu lalu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani memberi peringatan agar semua isu yang dibangkitkan dimasukkan dalam pembentangan RUU berkenaan.
Naib Presiden UMNO itu menegaskan, Ahli Parlimen UMNO tidak akan menyokong RUU URA sekiranya cadangan serta kebimbangan semua pihak berkepentingan tidak diterjemahkan secara jelas dalam perundangan tersebut.
Menurutnya, perkara itu termasuk resolusi yang diluluskan semasa Konvensyen Pembaharuan Bandar yang diadakan tahun lalu bagi membincangkan implikasi rang undang-undang berkenaan. – MalaysiaGazette
















