Keadaan kereta dinaiki lima sekeluarga yang terbabas ke dalam longkang dalam kejadian di Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berhampiran Juru–Perai, hari ini.

SEBERANG PERAI – Lima sekeluarga berdepan detik cemas apabila kereta dinaiki mereka terbabas ke dalam longkang di Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berhampiran Juru–Perai hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 4.56 pagi itu, kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Honda Jazz yang dinaiki sepasang suami isteri bersama tiga anak mereka berusia antara tujuh hingga 14 tahun.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.56 pagi sebelum sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai tiba lokasi kejadian 13 minit kemudian.

Menurutnya, sebaik tiba pihak bomba mendapati kereta terbabit telah terbabas ke dalam longkang dengan lima mangsa terlibat.

“Empat mangsa telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan anggota bomba manakala seorang lelaki berusia 41 tahun didapati tersepit di ruangan pemandu.

“Susulan itu, kita lakukan operasi menyelamat menggunakan peralatan khas ‘rescue tools’ dan pukul 5.42 pagi, mangsa berjaya dikeluarkan sebelum diserahkan kepada Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, operasi tamat sepenuhnya pukul 6.06 pagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast