Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek

PUTRAJAYA – Kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun ke tahun satu tidak bersifat wajib dan hanya melibatkan ibu bapa serta anak-anak yang benar-benar bersedia, khususnya dari aspek psikologi dan emosi.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) mengutamakan kesejahteraan murid bagi mengelakkan sebarang kesan negatif terhadap perkembangan awal kanak-kanak sekiranya mereka dimasukkan ke alam persekolahan terlalu awal tanpa kesiapsiagaan mencukupi.

“Kita galakkan hanya kepada ibu bapa yang bersedia dan paling penting, anak itu sendiri mesti bersedia. Jika anak tidak bersedia dari segi psikoemosi, kita tidak mahu ia memberi impak kepada perkembangan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan, mulai tahun hadapan, pendidikan prasekolah akan bermula pada usia lima tahun manakala tahun satu pada usia enam tahun, namun pelaksanaannya tidak diwajibkan bagi memberi ruang kepada semua pihak membuat persediaan, termasuk warga pendidik.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, ibu bapa memainkan peranan penting dalam menilai tahap kesediaan anak masing-masing sebelum membuat keputusan, manakala KPM akan menyediakan ujian diagnostik sebagai sistem sokongan untuk menilai kebolehan dan kesediaan murid.

“Sebab itu kita tekankan, ibu bapa perlu kenal pasti dahulu. KPM pula akan melaksanakan ujian diagnostik untuk melihat tahap kesediaan anak-anak ini,” katanya.

Berhubung kebimbangan kemungkinan berlaku lambakan murid dan isu prasarana sekolah, beliau berkata, pelaksanaan akan dibuat secara berperingkat dengan keutamaan diberikan kepada kanak-kanak yang benar-benar bersedia.

“Penyelesaiannya ialah kita mulakan dengan yang bersedia dahulu. Berdasarkan data yang kita kumpul, barulah kita susun persiapan termasuk prasarana,” ujarnya.

Menurut beliau, kohort murid berusia tujuh tahun sedia ada akan diteruskan seperti biasa, manakala penambahan murid enam tahun ke tahun satu akan dibuat berdasarkan data serta tahap kesiapsiagaan sekolah.

Sehubungan itu, Fadhlina berkata, KPM akan mengumumkan garis masa pelaksanaan dalam masa terdekat bagi membolehkan ibu bapa membuat keputusan secara teliti dan berinformasi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast