KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuka kertas siasatan berhubung kandungan dalam talian terbitan China Press yang didakwa berunsur palsu melibatkan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim semasa Istiadat Pembukaan Sidang Parlimen, semalam.
Kertas siasatan itu dibuka selepas MCMC menerima aduan rasmi daripada orang awam.
Menurutnya, siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, berhubung penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan komunikasi yang berpotensi menyebabkan kekeliruan awam serta menjejaskan keharmonian masyarakat.
Tambahnya, pihak China Press telah dipanggil ke ibu pejabat MCMC untuk rakaman keterangan petang ini.
Dalam pada itu, MCMC menggesa orang ramai agar menyalurkan sebarang aduan atau maklumat berkaitan kandungan dalam talian secara rasmi melalui saluran aduan MCMC di portal aduan.mcmc.gov.my, bagi membolehkantindakan sewajarnya diambil berdasarkan fakta dan proses yang sah.
MCMC turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi, komen melampau atau kenyataan bersifat fitnah, khususnya di media sosial dan memberi ruang kepada proses siasatan yang sedang berjalan. – MalaysiaGazette
















