KULAI – Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee membantu dua wanita yang menaiki motosikal dan dilanggar lari sebuah kereta di kilometer 32.2 Lebuhraya Linkedua dekat sini hari ini.
Seng Lee ketika itu dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) di sini dan kebetulan melalui jalan tersebut sebelum terserempak dengan penunggang dan pembonceng berkenaan.
Beliau memberhentikan kenderaan dan memberikan bantuan awal kepada mangsa kemalangan sebelum bantuan lanjut tiba.
Menurut Seng Lee, kejadian berlaku pukul 7.50 pagi melibatkan motosikal jenis Yamaha yang ditunggang wanita berusia 22 tahun manakala pembonceng 24 tahun.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kereta Honda yang dipandu seorang lelaki warga tempatan berumur 35 tahun telah mengubah haluan ke lorong kiri dan melanggar motosikal yang sedang bergerak di laluannya.
“Pemandu kereta bertindak melarikan diri dari tempat kejadian dan telah dikejar oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pihak polis memperolehi nombor pendaftaran kereta tersebut dan telah mengesan pemilik kenderaan.
Pemandu itu katanya, telah diambil tindakan saman bawah Seksyen 52(1) Akta Pengangkutan Jalan 1957 kerana tidak berhenti selepas terlibat kemalangan dan juga kaedah 6(1)LN 166/59 Peraturan Lalulintas Jalan 1959 iaitu memotong di sebelah kiri.
“Pihak polis merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada orang awam khususnya pengguna jalan raya yang prihatin kerana membantu di tempat kejadian sekali gus dapat membela mangsa yang terlibat dalam kemalangan jalan raya,” ujarnya.- MalaysiaGazette
















