GEORGE TOWN – Kira-kira 26,000 pengguna air di Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT) dijangka tidak terkesan dengan sebarang gangguan bekalan air berjadual apabila Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) melaksanakan projek penyambungan saluran paip utama bersaiz 900 milimeter pada 28 Januari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk K. Pathmanathan berkata, projek bernilai RM3.2 juta itu membabitkan kerja penyambungan akhir bahagian baharu saluran paip yang menyeberangi Sungai Perai Kedua di Sungai Dua.
“Projek berkenaan adalah saluran paip menyeberangi sungai kedua yang siap dilaksanakan dalam tempoh dua tahun bagi memperkukuh sistem agihan air di kawasan Seberang Perai.
“PBAPP akan menggunakan teknologi ‘hot tapping’ dan ‘line stopping’ bagi memastikan aliran air terawat dari Loji Rawatan Air Sungai Dua ke kawasan SPU dan SPT tidak perlu dihentikan sepanjang kerja penyambungan dijalankan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, penggunaan teknologi itu membolehkan penutupan saluran paip utama dielakkan sekali gus mencegah gangguan bekalan air berjadual yang berpotensi berlaku antara 24 hingga 48 jam.
Katanya, persediaan kerja ‘line stopping’ akan dilaksanakan pada 27 Januari termasuk pemasangan kelongsong ‘hot tapping’ serta mesin khas bagi mengalihkan aliran air melalui saluran lencongan sementara.
Jelas beliau, kerja penyambungan akhir pada 28 Januari akan membabitkan beberapa peringkat utama iaitu ‘hot tapping’, pemotongan paip lama, lencongan aliran air sementara, penanggalan bahagian paip lama serta pemasangan dan kimpalan paip baharu.
“Seramai empat pengimpal akan ditugaskan bagi mempercepatkan proses kimpalan sebelum ujian udara dijalankan dan aliran air dipulihkan sepenuhnya melalui saluran paip baharu.
“Keseluruhan kerja penyambungan akhir itu dijangka siap sepenuhnya pada 29 Januari termasuk penanggalan mesin line stopping.
“Kerja penyambungan akhir akan dilaksanakan berhampiran dua restoran di Sungai Dua iaitu Restoran Sri Tambang dan Restoran Aur Gading,” katanya.
Mengulas kos pelaksanaan, beliau berkata, PBAPP memperuntukkan kira-kira RM800,000 bagi penggunaan teknologi ‘line stopping’ dan ‘hot tapping’ berbanding sekitar RM80,000 menggunakan kaedah penyambungan konvensional.
“Walaupun kosnya lebih tinggi, pendekatan ini dipilih kerana ia membolehkan kira-kira 26,000 pengguna air tidak terjejas akibat gangguan bekalan air berjadual.
“Sekiranya kerja penyambungan akhir saluran paip menyeberangi Sungai Perai Kedua itu berjaya dilaksanakan mengikut jadual dan tanpa sebarang masalah, PBAPP akan mempertimbangkan penggunaan semula teknologi berkenaan bagi projek akan datang.
“Secara keseluruhan, penggunaan teknologi ‘line stopping’ dan ‘hot tapping’ memberi kelebihan kepada pengguna air serta operasi PBAPP, namun pelaksanaannya pada masa depan perlu mengambil kira faktor kos, tempoh kerja, jenis dan saiz saluran paip serta jumlah pengguna terlibat,” katanya.
Sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku kejadian luar jangka, beliau menasihatkan pengguna di Sungai Dua serta beberapa kawasan di SPT termasuk Alma, Bukit Mertajam, Bukit Minyak, Bukit Teh, Machang Bubok, Penanti dan kawasan sekitarnya supaya menyimpan bekalan air bagi tempoh 24 jam bermula 28 hingga 29 Januari.
Katanya, langkah itu diambil memandangkan teknologi berkenaan digunakan buat kali pertama di Pulau Pinang dan PBAPP mahu memastikan kebajikan pengguna air terus terpelihara. – MalaysiaGazette















