KUALA LUMPUR – Prestasi perdagangan Malaysia merekodkan pencapaian bersejarah pada tahun 2025 apabila perdagangan, eksport dan import buat pertama kalinya melepasi paras RM3 trilion, mencecah RM3.061 trilion, meningkat 6.3% tahun ke tahun.
Eksport melepasi RM1 trilion bagi tahun kelima berturut-turut, mengembang 6.5% kepada nilai tertinggi setakat ini sebanyak RM1.607 trilion manakala import naik 6.2% kepada RM1.455 trilion.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, prestasi yang memberangsangkan ini telah menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM151.80 bilion, merupakan lebihan yang ke-28 tahun berturut-turut sejak 1998.
Pertumbuhan eksport yang kukuh ini telah disokong oleh rekod eksport tertinggi ke rakan dagang tradisional, iaitu ASEAN, Amerika Syarikat (AS), Taiwan dan KesatuanEropah (EU), yang mencerminkan penglibatan kukuh Malaysia dalam rantaian bekalan global bernilai tinggi dan berintensifkan teknologi.
Pencapaian ini direkodkan meskipun berdepan ketidaktentuan global yang berpanjangan, termasuk ketegangan geopolitik, penstrukturan semula rantaian bekalan serta peningkatan risiko perlindungan perdagangan.
Eksport ke China bagaimanapun berkembang pada kadar yang lebih sederhana.

MITI berkata, rangkaian Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia yang komprehensif, termasuk rangka kerja serantau utama seperti Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), terus memainkan peranan penting dalam memudahkan akses pasaran, mempelbagaikan destinasi eksport serta mengurangkan risiko perdagangan.
Memanfaatkan perjanjian ini, eksport meneruskan trend peningkatan, dengan eksport ke Hong Kong, Mexico dan Kanada merekodkan nilai tertinggi setakat ini, disokong oleh pertumbuhan dari pelbagai kategori barangan.
Usaha kepelbagaian ke pasaran baharu turut menyumbang kepada pertumbuhan eksport, terutamanya ke negara-negara seperti Nigeria, Tanzania, Togo, Angola, Yaman, Maghribi, Uzbekistan, Puerto Rico, Kyrgyzstan, Kenya dan Algeria, mencerminkan kejayaan Malaysia dalam meneroka pasaran bukan tradisional yang berpotensi.
Dari segi sektoral, eksport barangan perkilangan menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan bersejarah tahun ini, mencatatkan rekod nilai tertinggi, tambahnya.
Prestasi ini dipacu oleh eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E), jentera, kelengkapan dan peralatan serta barangan optik dan saintifik, masing-masing turut merekodkan paras tertinggi.
Keluaran pertanian turut menyokong pertumbuhan, disokong oleh kenaikan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.
Prestasi kukuh turut digambarkan melalui pelonjakan kedudukan Malaysia ke tangga 23 sebagai negara paling berdaya saing global, berbanding tangga ke-34 pada tahun 2024 yang dikeluarkan oleh International Institute for Management Development (IMD).
Ini mencerminkan kemajuan ketara dalam pemulihan ekonomi, pembentukan semula serta pengukuhan daya saing keseluruhan negara.
Prestasi perdagangan, eksport dan import Malaysia yang memberangsangkan pada tahun 2025 menjelaskan kepentingan terhadap sokongan dasar yang berterusan serta pelaksanaan strategi promosi eksport yang berfokus di bawah kepimpinan MITI dan Matrade.
Menurut MITI, usaha ini diperkukuhkan lagi dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), Pelan Tindakan Perdagangan Nasional (NTBp) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), memastikan kesinambungan momentum serta pertumbuhan perdagangan yang mampan dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran global yang semakin meningkat. – MalaysiaGazette















