Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir

KUALA LUMPUR – Individu berkecuali, bebas daripada pengaruh politik dan berintegriti perlu diletakkan untuk menerajui Rumah Bangsa bagi mengelakkan UMNO mengulangi kesilapan sama dalam penyatuan ummah sebelum ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata, ia bagi menjamin ketelusan, profesionalisme serta kepercayaan rakyat terhadap Rumah Bangsa.

“Kita kena ambil orang yang berada di tengah-tengah, tak boleh UMNO, Bersatu, atau mana-mana pihak, macam dulu Tun Dr Mahathir ada buat Kongres Melayu di Shah Alam.

“Ketika itu orang nampak naratifnya nak menghapuskan UMNO dan lebih kepada untuk membawa orang masuk ke dalam Bersatu, ada orang setuju, ada orang tak setuju.

“Akhirnya ia tidak mendapat sambutan yang baik, kali ini kita jangan letak ahli politik, kita kena letak orang yang neutral, tidak memihak kepada mana-mana pihak,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Terdahulu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa yang sebulat suara dipersetujui majoriti perwakilan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025, pada Sabtu.

Inisiatif Rumah Bangsa yang diusulkan sendiri Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi antara lain untuk menerima penyertaan semula ahli-ahli parti dan yang belum menjadi ahli parti atau yang telah meninggalkan parti untuk diterima menjadi ahli-ahli UMNO.

Zaidy juga berhadap Rumah Bangsa itu menyatu dan mengembalikan kuasa orang-orang Melayu yang kini berpecah-belah kerana politik.

“Saya harap presiden dengan kebijaksanaan dapat memujuk dan bermusyawarah bersama-sama komuniti, NGO, kesatuan mahupun parti-parti politik berteraskan Melayu agama Islam.

“Mungkin boleh ajak Amanah, Bersatu, Pas, UMNO, Pejuang, Putera dan Perkasa duduk semeja berbincang untuk penyatuan ummah ini.

“Kalau diberi ruang yang seadil-adilnya, saya rasa banyak pihak akan setuju, kalau betul matlamat dan naratifnya, Insya-Allah tidak mustahil boleh menyatukan orang Melayu dan Islam di dalam Rumah Bangsa ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast