SHAH ALAM – Selangor kini mencapai 96.9 peratus liputan jaringan telekomunikasi generasi kelima (5G) sekaligus menjadi negeri peneraju perkhidmatan rangkaian tersebut.
Menteri Komunikasi, Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, pencapaian berkenaan sejajar dengan perancangan pembangunan bandar pintar di negeri ini seperti mana aspirasi Pelan Tindakan Pintar Selangor 2025.
“Dengan populasi sekitar 7.4 juta, Selangor merupakan negeri yang mempunyai jumlah penduduk tertinggi di Malaysia, sekali gus mencerminkan jumlah penerima manfaat yang besar bagi sebarang inisiatif, pelaburan atau penyediaan perkhidmatan.
“Selangor kini muncul sebagai negeri peneraju liputan 5G di Malaysia, sejajar dengan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan pembangunan berteraskan kesejahteraan, kemampanan dan kemajuan bersama,” katanya dalam sembah ucapan pada Majlis Pertukaran Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Selangor bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Pertukaran MoU disaksikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang diiringi Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.
Terdahulu, Fahmi berkata, peruntukan sebanyak RM450 juta disalurkan bagi menyokong pembangunan bandar pintar di Selangor.
Jelas beliau, sebanyak tiga bidang utama di bawah penyelarasan dan pemantauan Pusat Pengoperasian Pintar dan Bersepadu (SIIOC) yang diberi tumpuan dalam MoU berkenaan.
“Pembangunan infrastruktur kesalinghubungan pintar, peningkatan keselamatan awam dan pengurusan trafik serta pelaksanaan pengurusan banjir pintar.
“Pembangunan infrastruktur kesalinghubungan pintar akan menjadi asas kepada bandar pintar, merangkumi perluasan rangkaian gentian optik, kemudahan Wi-Fi awam serta sokongan kepada pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) bagi memastikan rakyat Selangor menikmati capaian Internet yang lebih luas, stabil dan berkualiti,” tambahnya.
Mengulas lanjut, katanya, inisiatif itu akan meningkatkan kualiti hidup melalui perkhidmatan awam yang lebih cekap dan responsif, persekitaran bandar yang lebih selamat serta sistem pengurusan trafik dan bencana yang lebih tersusun dan berasaskan data.
“Akses kepada kesalinghubungan digital yang lebih meluas dan berkualiti juga akan memastikan tiada golongan yang tercicir daripada manfaat ekonomi dan sosial dalam era digital.
“Pelaksanaan bandar pintar ini akan memperkukuh keupayaan perancangan dan pengurusan bandar bagi Kerajaan Selangor, melalui penggunaan data bersepadu dan teknologi pintar, seterusnya menyokong pembuatan dasar yang lebih tepat, mampan dan berimpak tinggi.- MalaysiaGazette
















