Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 di Pusat Konvensyen Antarabagsa (PICC), Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 20 JANUARI 2026.

PUTRAJAYA – Semua sistem pendidikan termasuk Sekolah Antarabangsa, Sekolah Agama Rakyat dan sekolah aliran Cina atau Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) diwajibkan mengambil ujian Bahasa Melayu dan Sejarah mulai tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selepas ini sistem pendidikan UEC tidak lagi menjadi kontroversi sekiranya sekolah aliran Cina itu boleh menerima syarat Kerajaan Malaysia itu.

“Ini terpakai juga dengan kontroversi kecil soal UEC walaupun keadaan sudah berubah. Majoriti besar mengambil SPM dan juga majoriti besar mengambil SPM bahasa.

“Tetapi dalam peraturan sekarang, Bahasa Melayu dan Sejarah Malaysia juga diwajibkan bagi sekolah antarabangsa, sekolah agama rakyat dan semua sekolah aliran Cina atau UEC.

“Dengan kaedah ini, jalur mereka untuk pergi ke pendidikan tinggi sama ada dari sekolah antarabangsa atau sekolah agama rakyat dan UEC itu tidak lagi harus menjadi kontroversi, kita terima baik asalkan syarat ini diterima,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu Anwar berucap merasmikan Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri I, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Selain itu, Anwar juga berkata, semua pelajar juga diwajibkan menguasai Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua.

“Bahasa Melayu itu dimantapkan kuasai sebagai bahasa perantaraan, bahasa ilmu, penumpuan tahap penguasaan Bahasa Inggeris harus berubah. Bahasa Inggeris harus diberi keutamaan mulai sekarang.

“Anak-anak kita harus menguasai Bahasa Inggeris dengan baik sebagai bahasa kedua, tidak hanya belajar dan mengajar sambil lewa.

“Standard dan mutu pendidikan Bahasa Inggeris mesti ditingkatkan dalam sistem pendidikan kebangsaan negara kita,” katanya.

Mulai 2026, Anwar berkata, Sistem Matrik Pembelajaran Malaysia atau sistem penilaian atau peperiksaan yang dikendali oleh Lembaga Peperiksaan Darjah Empat Sekolah Rendah akan dikembalikan semula.

“Cikgu-cikgu ingat tahun ini ada ujian darjah empat sekolah rendah, mengapa nak tunggu darjah enam?

“Tumpuan Matrik Pembelajaran Malaysia ini yang akan dikendalikan Lembaga Peperiksaan ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah dengan lima subjek ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast