KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa supaya menubuhkan segera Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kegagalan projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Pemangku Ketua Wira Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Dr. Mohamad Izwan Zainal berkata, pihaknya menjunjung tinggi titah Yang di-Pertuan Agong yang menekankan prinsip tadbir urus baik, integriti, kebertanggungjawaban serta pembanterasan rasuah dalam pentadbiran negara.
Menurutnya, titah Seri Paduka Baginda ketika Istiadat Pembukaan Parlimen semalam, merupakan peringatan jelas kepentingan negara, keselamatan rakyat dan kedaulatan undang-undang tidak boleh dikompromi, lebih-lebih lagi apabila melibatkan perbelanjaan awam berbilion ringgit serta keupayaan pertahanan negara.
“Prestasi Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) oleh Transparency International yang kekal pada skor 50 mata bagi tahun 2023 dan 2024 mencerminkan kegagalan negara mencapai lonjakan reformasi sebenar, apabila skandal berskala besar terus berulang tanpa penyelesaian yang tuntas dan telus.
“Isu projek LCS adalah contoh jelas kegagalan sistemik. Projek bernilai antara RM9 hingga RM11 bilion ini menyaksikan lebih RM6 bilion wang rakyat dibelanjakan, namun sehingga kini sebuah kapal pun gagal disiapkan mengikut jadual asal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Putra dengan tegas menggesa kerajaan menubuhkan RCI bagi menyiasat secara menyeluruh punca kegagalan projek tersebut termasuk meneliti aliran kewangan, proses perolehan serta menentukan liabiliti jenayah dan sivil terhadap mana-mana individu atau pihak yang terlibat tanpa sebarang pilih kasih.
Dr. Mohamad Izwan menegaskan, penubuhan RCI merupakan langkah paling berwibawa dan telus untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap institusi negara, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan serta titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Beliau turut menyifatkan rasuah dalam sektor pertahanan sebagai satu bentuk pengkhianatan terhadap negara kerana penyelewengan wang rakyat bukan sahaja melibatkan angka, malah menjejaskan keselamatan anggota tentera serta kedaulatan Malaysia.
Selain itu, Wira Putra turut mendesak pindaan undang-undang berkaitan rasuah supaya hukuman lebih berat dikenakan termasuk penjara seumur hidup atau rotan mandatori disamping hukuman penjara minimum mandatori sebagai langkah pencegahan lebih tegas. – MalaysiaGazette
















