TAWARAN Presiden UMNO untuk membina kerjasama strategik parti-parti Melayu-Islam hadir bukan sekadar sebagai seruan perpaduan, tetapi sebagai satu kerangka baharu kuasa politik.
Dengan penegasan terhadap “tiga garis merah” dan cadangan penubuhan konsortium gabungan parti Melayu-Islam, UMNO cuba memposisikan dirinya semula sebagai peneraju agenda umat dalam landskap politik pasca dominasi satu parti.
Tiga garis merah, hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera, kesucian agama Islam, serta kedaulatan Raja-Raja Melayu digariskan sebagai prasyarat mutlak.
Namun yang lebih signifikan ialah cadangan konsortium, yang dilihat sebagai platform berinstitusi untuk menyelaraskan dasar, naratif dan hala tuju politik parti-parti Melayu-Islam sama ada dalam Kerajaan Perpaduan atau pakatan masa depan.
Secara zahir, konsortium ini ditampilkan sebagai mekanisme penyatuan, bertujuan mengelakkan persaingan sesama sendiri yang melemahkan kekuatan politik Melayu.
Namun secara strategik, ia juga mencerminkan keinginan UMNO untuk kembali ke posisi pusat bukan lagi sebagai parti dominan tunggal, tetapi sebagai arkitek struktur kuasa Melayu-Islam.

Peringatan keras Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, bahawa kerjasama ini bukan “tiket percuma” menegaskan bahawa konsortium tersebut bukan platform kompromi prinsip.
Sebaliknya, ia bersifat selektif dan bersyarat. Parti-parti yang menyertainya dijangka akur kepada kerangka UMNO termasuk penolakan terhadap sebarang tindakan atau naratif yang dianggap mencabar institusi teras negara.
Cadangan ini turut membuka semula wacana menghidupkan Muafakat Nasional dalam bentuk yang diperluas.
Sokongan awal Pemuda UMNO dan respons positif daripada Pas menunjukkan kesediaan untuk berbincang, namun sejarah kerjasama UMNO–Pas membayangkan cabaran yang jauh lebih mendalam.
Konflik ideologi, pendekatan politik takfiri, serta perebutan pengaruh akar umbi sering menjadi punca keretakan sebelum ini.
Lebih membimbangkan, isu dalaman seperti ketegangan politik di Perlis memperlihatkan bahawa kesepaduan Melayu-Islam masih rapuh walaupun berada dalam blok yang sama.
Konsortium tanpa kesepakatan nilai demokrasi, tadbir urus dan disiplin politik berisiko menjadi pakatan longgar yang hanya berfungsi ketika berdepan musuh bersama.
Kritikan daripada Amanah yang menyifatkan pendekatan UMNO sebagai politik berasaskan ketakutan identiti mencerminkan kebimbangan lebih besar: bahawa konsortium ini mungkin dilihat sebagai eksklusif dan tidak selari dengan realiti masyarakat majmuk.

Dalam Kerajaan Perpaduan yang bergantung kepada sokongan pelbagai kaum, sebarang struktur politik yang terlalu berteras identiti berisiko menjejaskan kestabilan keseluruhan.
Ancaman UMNO untuk “menepis tangan” sekutu jika garis merah dilanggar turut memberi implikasi besar.
Ia menandakan bahawa konsortium dan kerjasama Melayu-Islam ini bukan sekadar pelengkap kepada Kerajaan Perpaduan, tetapi juga instrumen tekanan politik.
Kritikan Rafizi Ramli bahawa ugutan sebegini semakin “tumpul” mencerminkan persoalan sama ada UMNO benar-benar bersedia menanggung risiko menarik sokongan, atau sekadar menguji had kesabaran rakan gabungan.
Jika mana-mana garis merah dilanggar, implikasinya bukan kecil: perpecahan pakatan, ketidaktentuan dasar dan kemungkinan pilihan raya awal.
Ironinya, dalam keadaan UMNO sendiri berdepan tekanan dalaman dan cabaran kepercayaan pengundi, langkah drastik itu boleh menjadi pedang bermata dua.
Akhirnya, persoalan utama bukan sekadar kewajaran tiga garis merah atau konsortium Melayu-Islam itu sendiri tetapi bagaimana kedua-duanya diterjemahkan dalam amalan politik.
Jika konsortium dijadikan wadah dialog matang dan reformasi institusi, ia berpotensi menjadi mekanisme kestabilan.
Namun jika ia sekadar alat untuk menegaskan dominasi dan memberi tekanan, ia mungkin mempercepatkan lagi keletihan rakyat terhadap politik identiti.
Dalam politik Malaysia yang semakin kompleks, penyatuan tidak boleh dibina melalui syarat dan amaran semata-mata.
Masa akan menentukan sama ada konsortium Melayu-Islam versi UMNO ini menjadi jambatan ke arah kestabilan nasional, atau satu lagi episod dalam kitaran konflik kuasa yang berulang.

Dr. Syed Agil Alsagoff
Penganalisis Komunikasi Politik
Universiti Putra Malaysia
















