Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri R Ramanan hadir ke Sekolah Kebangsaan Subang Bestari bagi menyampaikan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) bagi sesi 2026.

SUNGAI BULOH – Seramai 2,363 murid di Sekolah Kebangsaan Subang Bestari menerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP) bagi sesi 2026 dengan jumlah agihan awal hampir RM355,000.

Ahli Parlimen Sungai Buloh yang juga Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, bantuan berjumlah RM150 kepada setiap murid itu disalurkan bagi membantu meringankan beban ibu bapa pada awal sesi persekolahan.

“Kerajaan mahu memastikan murid memulakan persekolahan dengan keperluan asas yang mencukupi, tanpa ibu bapa terbeban dengan kos permulaan yang tinggi,” katanya selepas majlis penyaluran BAP di sekolah berkenaan.

Menurut Ramanan, pelaksanaan BAP di bawah Kerajaan Madani terus diperkukuh dengan peningkatan peruntukan dari tahun ke tahun, bermula RM765 juta pada 2023, RM788 juta pada 2024 dan RM791 juta pada 2025.

Beliau berkata, bagi 2026, peruntukan hampir RM800 juta disediakan, melibatkan lebih 5.2 juta murid di seluruh negara termasuk pelajar Tingkatan Enam.

“Bantuan ini diberikan secara menyeluruh tanpa mengira kaum, agama, aliran sekolah atau latar belakang keluarga kerana pendidikan adalah hak semua anak Malaysia,” ujarnya.

Ramanan berkata, penyaluran BAP bermula 11 Januari dan dibuat secara berperingkat kepada semua murid warganegara Malaysia.

Mengulas pelaksanaan di Sungai Buloh, jumlah penerima di SK Subang Bestari dijangka meningkat selari dengan pertambahan enrolmen murid bagi sesi persekolahan tahun ini.

Menurutnya, peningkatan peruntukan secara berterusan mencerminkan keutamaan kerajaan untuk memastikan tiada murid tercicir daripada sistem pendidikan akibat kekangan kewangan.

“Saya berharap ibu bapa dapat menggunakan bantuan ini sebaik mungkin untuk menyediakan keperluan persekolahan anak-anak agar mereka dapat memberi tumpuan penuh kepada pembelajaran,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast