Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyerahkan Pakaian Interim Taktikal AKPS kepada Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Zain sebagai simbolik Majlis Peluncuran Benteng Persada di KLIA1, Sepang. Foto MOHD ADZLAN, 26 OGOS 2025.

KUALA LUMPUR – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) memberi jaminan tidak akan berkompromi dengan pegawai atau kakitangannya yang terlibat dengan kes integriti.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ketegasan itu dibuktikan menerusi penangkapan 29 pegawai dan kakitangan AKPS kerana disyaki terbabit kegiatan yang melanggar etika dan tatatertib.

Menurut beliau, biarpun usia AKPS  baru setahun tetapi sudah meletakkan asas bahawa tiada tolak ansur dalam pelanggaran tata tertib dan integriti.

“Ini maksudnya kita tiada kompromi. Saya sikit pun tiada rasa curiga terhadap keupayaan dan kepemimpinan AKPS dalam memastikannya.

“Mereka maklum kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). SPRM buat intipan, penguatkuasaan, tangkap dan silakan jika perlu buat sidang media,” katanya pada sidang di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mengenai tindakan diambil terhadap 29 pegawai dan kakitangan AKPS yang ditahan kerana disyaki terbabit kegiatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Saifuddin menambah, AKPS di bawah Ketua Pengarahnya, Datuk Suhailly Mohd. Zain ketika menggunakan pendekatan kompromi langsung terhadap pelanggaran integriti apabila telah bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia SPRM, Jabatan Imigresen dan juga Polis Diraja Malaysia.

“Di sana ada keperluan untuk melaksanakan Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 termasuk hukuman buang kerja dan sebagainya,” katanya.

-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast