JASIN – Aksi pantas ala hero seorang penunggang motosikal berjaya menyelamatkannya daripada tersepit dalam nahas melibatkan empat buah kenderaan di Jalan Selandar–Kesang, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, kejadian kira-kira jam 7 pagi itu mengakibatkan pemandu tiga buah kereta.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika sebuah kereta Proton Wira dipandu lelaki berusia 34 tahun dari arah Selandar ke Kesang dipercayai membelok ke kanan.
“Pada masa sama, datang sebuah kereta jenis Nissan Almera dipandu lelaki berusia 61 tahun dari arah sama tidak sempat mengelak lalu melanggar belakang Proton Wira berkenaan.
“Rempuhan menyebabkan kereta itu berpusing dan melintang di tengah jalan sebelum sebuah Toyota Wish dari arah bertentangan tidak sempat mengelak dan melanggarnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, pada masa yang sama, terdapat sebuah motosikal Yamaha Y125R yang berada di belakang Toyota Wish terjatuh ketika cuba mengelak pelanggaran.
“Kemalangan mengakibatkan ketiga-tiga pemandu Nissan Almera, Toyota Wish, Proton Wira mengalami sakit di dada, leher dan cedera di mata.
“Penunggang yang motosikal tidak mengalami sebarang kecederaan telah beredar dari lokasi kejadian dan usaha mengesannya masih dijalankan bagi mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Kaedah 3(2)(b) Peraturan-Peraturan Lalu Lintas Jalan 1959 kerana disyaki cuai ketika memasuki simpang.
Sementara itu, kejadian berkenaan tular selepas dirakam kamera papan pemuka sebuah kenderaan lain memaparkan tindakan pantas dan bijak penunggang berkenaan berjaya menyelamatkan nyawanya. – MalaysiaGazette
















