Gambar hiasan

PERKEMBANGAN teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), media sosial, dan kecerdasan buatan menyemarakkan lagi keghairahan kepada hiburan. Siaran televisyen berdefinisi tinggi sebagai contoh membolehkan penonton seolah-oleh menyaksikan persembahan seumpama di tempat sebenar.

Bukan itu sahaja, peningkatan kepantasan sambungan Internet membolehkan sebaran video, muzik dan media sosial dicapai sepanjang masa sehingga mengabaikan rutin harian seperti tugasan kerja, waktu makan, sebelum tidur, bahkan ketika ibadah!

Ketaksuban kepada hiburan dan media sosial sangat memberi kesan negatif kepada aspek kekeluargaan dengan individu seperti ibu bapa dan anak-anak lebih leka ‘bercakap dengan telefon pintar dan gajet’ walaupun duduk bersebelahan atau kata mudah, kita hidup bersama tetapi terasing.

Perkara ini dianggap ketagihan masyarakat moden iaitu masa berkualiti bersama keluarga semakin kurang kerana dibazirkan kepada gajet. Hakikatnya, tiada faedah nyata dari ketagihan ini tetapi lebih kepada hiburan peribadi yang akhirnya memberi kesan negatif kepada hubungan kekeluargaan, bahkan mungkin mempengaruhi anak-anak untuk merasakan gajet adalah ‘rakan‘ berbanding ibu bapa.

Kesan Hiburan Kepada Kanak-Kanak

Mungkin antara perkara sering terlepas pandang ialah pendedahan keterlaluan kepada hiburan secara langsung mempengaruhi pemikiran dan tingkah laku individu terutama kanak-kanak. Ini kerana fikiran, jiwa dan emosi kanak-kanak masih kosong dan mudah untuk menerima apa yang dilihat, didengar, dan persekitaran (berdasarkan teori pembelajaran sosial oleh Albert Bandura, 1977).

Sekiranya setiap hari kanak-kanak diperlihatkan dengan hiburan negatif, berkemungkinan besar kanak-kanak akan terpengaruh. Sewajarnya kanak-kanak didedahkan kepada perkara mematangkan, tetapi apakah rancangan animasi mampu membantu ke arah mematangkan kanak-kanak? Mungkin ya, tetapi implikasi negatif lebih besar.

Ibu bapa mungkin beranggapan tidak mengapa anak-anak mereka menonton animasi atau video platform media sosial, tetapi lama-kelamaan mendatangkan ketagihan yang mana sepatutnya masa belajar atau rehat dihabiskan dengan menonton hiburan tidak berfaedah.

Lebih teruk lagi kelekaan kepada tevisyen atau telefon pintar menyebabkan kanak-kanak meninggalkan solat dan malas mengaji. Sekarang dengan perkembangan teknologi siaran televisyen satelit, dan telefon pintar (gajet), rancangan hiburan kanak-kanak boleh ditonton 24 jam atau bukan sahaja platform video dalam talian.

Satu pengiraan mudah, andaikan satu hari masa menonton televisyen secara purata 2 jam, darabkan dengan 7 hari seminggu, darabkan dengan 4 minggu, darabkan dengan 12 bulan.

Berapa lama masa berkualiti kanak-kanak terbuang begitu sahaja? Hakikatnya, televisyen diperakui mendatangkan kesan sangat kuat kepada pembentukan sistem nilai dan perlakuan. Manakala sebahagian besar sarjana pendidikan mengakui teknologi seperti televisyen memainkan peranan kritikal dalam pembentukan pemikiran dan pendidikan kanak-kanak.

Kedapatan artikel berkaitan kesan animasi kepada personaliti kanak-kanak menyatakan hasil kajian mendapati animasi adalah faktor utama dalam pembentukan personaliti kanak-kanak. Antara contoh dibawakan ialah watak kartun yang suka memaksa dan memberontak kepada ibu bapa untuk memenuhi kehendaknya adalah sangat tidak baik dipertontonkan kepada kanak-kanak dalam persekitaran budaya masyarakat Malaysia.

Sekiranya perkara ini tidak dikawal oleh ibu bapa sejak awal, maka ketagihan anak-anak kepada hiburan mungkin sukar dibendung. Perkara ini secara tidak langsung menjadikan gajet adalah ‘pendidik’ utama yang menyebabkan anak-anak kurang mendengar kata ibu bapa.

Bukan itu sahaja, kelekaan kepada gajet menyebabkan kanak-kanak menjadi malas berfikir dan juga kurang pergerakan kerana sifat interaksi satu hala iaitu hanya duduk di hadapan gajet, dan segala-galanya ada di depan mata. Ini mungkin menyebabkan kanak-kanak hanya menerima tanpa berfikir apakah baik buruk yang ditonton.

Sebagai contoh, sekiranya setiap hari kanak-kanak menonton animasi yang mengandungi aksi keganasan seperti melompat-lompat, menumbuk, tutur kata tidak sopan, terjerit-jerit, dan paling teruk menyalahi nilai-nilai murni agama, lama kelamaan mereka akan terpengaruh menyebabkan kesukaran pembentukan individu seimbang.

Contoh lain, kebanyakkan adegan animasi super hero mengarahkan keganasan seperti ungkapan “mati kau raksasa“, “jahanam kau penjahat“, sekiranya anak-anak anda ada meniru aksi ganas sebegini, maka sudah tiba masanya menyimpan sahaja gajet dari terus ‘membentuk’ dan ‘mendidik’ mereka.

Ini kerana gajet telah berjaya membentuk ilusi khayalan dalam minda kanak-kanak yang menyebabkan ruangan simpanan ilmu pengetahuan semakin mengecil.

Terdapat kajian menunjukkan kanak-kanak yang sering kali menonton aksi berbentuk keganasan di televisyen teruja untuk melakukannya dalam dunia realiti. Kajian lain turut menyokong menonton rancangan televisyen berbentuk keganasan mempunyai perkaitan signifikan dengan perlakuan dan nilai agresif.

Sikap agresif ini jika tidak diubah pada peringkat awal dikhuatiri terbawa-bawa dalam pergaulan dan mungkin terlibat dalam jenayah keganasan.

Bukan itu sahaja, drama lakonan mengandungi babak percintaan, pergaulan bebas lelaki dan perempuan, penggunaan laras percakapan tidak sesuai sedikit sebanyak mempengaruhi emosi kanak-kanak untuk mempraktisnya dalam dunia sebenar.

Hakikatnya menurut pakar teori perlakuan, kanak-kanak tidak dapat membezakan realiti dan fantasi seterusnya mereka beranggapan apa yang dilihat dan didengar adalah sebagai betul dan tidak salah untuk melakukannya.

Seperti diketahui, kebanyakan animasi atau hiburan kanak-kanak dihasilkan oleh penerbit Barat yang mungkin mempunyai agenda tertentu. Maka sudah tentu Barat menggunakan strategi halus menyemai nilai-nilai yang bertentangan nilai-nilai murni masyarakat Malaysia.

Bahkan mungkin mempunyai unsur-unsur bertentangan dengan agama. Sebagai contoh, watak hero boleh terbang digambarkan sebagai penyelamat bumi yang perlu disanjungi yang mana perkara berkenaan boleh menghakis kepercayaan kepada Tuhan sebagaimana dinyatakan dalam Rukun Negara.

Sekiranya diteliti pada sebahagian hiburan yang dihasilkan pihak Barat, terdapat banyak imej tersembunyi seperti unsur seks, bahkan mungkin mengandungi mesej menghina agama secara tersembunyi.

Mungkin sebahagian ibu bapa tidak sedar atau sengaja ‘membutakan’ mata bahawa kebanyakan hiburan diperlihatkan seperti pakaian seksi dan menampakkan sebahagian besar tubuh badan. Adakah perkara ini sesuai dengan suruhan ibu bapa kepada anak-anak untuk menutup aurat?

Terdapat juga adegan dalam kartun atau lakonan mengarah kepada pergaulan bebas seperti berpelukan, bercium dan berpegang tangan antara bukan muhrim. Pendapat ini bukan telahan kosong sebaliknya berdasarkan satu kajian yang membuat pemerhatian kepada beberapa siri kartun popular.

Perkara negatif sebegini sepatutnya dilarang untuk tontonan kerana kesan negatifnya melainkan ibu bapa tidak mahu menjadikan anak-anak mereka soleh dan solehah. Sekiranya setiap hari kanak-kanak dipertontonkan adegan negatif, maka tidak mustahil perkara berkenaan dianggap sebagai suatu kebiasaan yang boleh dipraktiskan dalam dunia sebenar yang secara tidak langsung meningkatkan kemungkinan gejala sosial.

Sementara ibu bapa masih lagi mampu mengawal, apa salahnya simpan sementara gajet atau sekat capaian kepada hiburan yang melalaikan demi pendidikan anak-anak dan pembentukan jasmani, emosi, rohani, dan intelek. Adakah hiburan lebih penting? Atau keseimbangan pembesaran dan pendidikan anak-anak?

Tentu sukar untuk menjawab soalan sebegini kerana majoriti kita memerlukan hiburan melalaikan di zaman moden ini!

Oleh,

Ahmad Muhaimin Mohamad, Ph.D

Pensyarah Kanan, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah [email protected]

-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast