KUALA LUMPUR – Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) menyasarkan pengeluaran subsektor akuakultur sebanyak 530,000 metrik tan berbanding 510,000 metrik tan pada 2025, meningkat 3.92%.
Sasaran ini disokong pelaksanaan program meningkatkan pengeluaran, termasuk ternakan, baka benih, dan bantuan kepada kumpulan sasar, kata Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Datuk Adnan Hussain.
Menurutnya, jabatan ini terus mengekalkan momentum sektor perikanan, dengan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat kepada RM9.18 bilion sehingga suku ketiga (S3) 2025 berbanding RM8.94 bilion pada 2024, sekali gus mengekalkan sumbangan sektor ini sebanyak 0.7 peratus kepada KDNK negara.
Peningkatan ini disokong oleh subsektor perikanan tangkapan yang meningkat daripada RM5.77 bilion kepada RM6.05 bilion (0.5%), manakala subsektor akuakultur mencatat RM3.14 bilion (0.2%).
Menurutnya, kejayaan ini mencerminkan transformasi sektor perikanan yang lebih moden dan lestari, sambil mengukuhkan keterjaminan makanan negara dan memperkukuh peranan sektor perikanan sebagai penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi.
“Kejayaan 2025 adalah hasil sinergi antara kerajaan, komuniti nelayan, dan pemain industri,” katanya sambi menyifatkan pencapaian ekonomi ini sebagai asas kukuh bagi jabatan melonjak lebih jauh pada 2026, dengan fokus kepada pendigitalan sektor perikanan, pembangunan usahawan perikanan yang kompetitif, serta pelaksanaan program konservasi strategik.
Tambah beliau, prestasi cemerlang tahun 2025 membuktikan bahawa usaha nelayan dan penternak bukan sahaja membekalkan makanan, tetapi turut menyumbang kepada ekonomi negara serta memastikan kelestarian sumber perikanan untuk generasi akan datang.
“Tahun ini, kita akan menekankan inovasi dan produktiviti sebagai nadi utama, selaras dengan budaya integriti dan profesionalisme
dalam setiap urusan,” ujar beliau.
DOF turut menyokong hala tuju tersebut dengan memperkukuh pelaksanaan program konservasi perikanan strategik, termasuk kawasan perlindungan marin, santuari perikanan darat, dan zon konservasi perikanan, demi kesejahteraan komuniti perikanan dan kelestarian sumber negara. – MalaysiaGazette















