KUALA LUMPUR – Kerajaan sentiasa mengambil berat akan keselamatan perairan dan ruang udara negara serta memantau rapat sebarang perkembangan dan situasi semasa di kawasan tersebut.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia melibatkan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan isu tersebut ditangani dengan segera dan efisien tanpa menimbulkan sebarang ketegangan di lapangan.
Katanya, Angkatan Tentera Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia serta agensi penguatkuasaan maritim yang lain sentiasa komited meneruskan operasi strategik di kawasan sensitif dengan mempamerkan kehadiran aset udara dan maritim negara.
“Pelaksanaan rondaan berkala dan operasi oleh Pasukan Keselamatan Negara bertujuan bagi memastikan keselamatan aktiviti-aktiviti ekonomi negara seperti aktiviti eksplorasi dan eksploitasi hidrokarbon di kawasan tersebut sentiasa terpelihara sepanjang masa di samping mempertahankan kedaulatan negara.
“Selain itu, Kementerian Luar Neger juga terus mengemukakan bantahan kepada mana-mana negara yang yang didapati menceroboh kawasan perairan Malaysia.
“Dalam hal ini, kerajaan juga akan terus komited untuk menambah baik aset-aset agensi keselamatan dan agensi penguatkuasaan maritim negara termasuk perolehan kapal yang baharu.
“Ini bagi memastikan aset maritim negara sentiasa berada di dalam keadaan baik dan mencukupi serta sedia diatur gerak untuk memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN-Marang) yang meminta penjelasan kerajaan berhubung jaminan kerjasama Malaysia-Singapura dalam isu rentas sempadan seperti air, ruang udara dan maritim akan diputuskan secara adil serta tidak mencabar kedaulatan negara.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid memberitahu, isu rentas sempadan seperti isu ruang udara dan sempadan maritim adalah isu yang kompleks dan sensitif serta perlu dikendalikan secara aman dan rasional bagi mengelakkan berlakunya ketegangan di lapangan.
Katanya, pendirian Malaysia berhubung isu ini adalah jelas dan konsisten iaitu semua pertikaian hendaklah berdasarkan prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf secara sejagat termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982.
“Dalam hal ini kepentingan negara akan terus dijadikan asas utama dalam sebarang tindakan yang diambil berhubung isu kedaulatan negara,” katanya. – MalaysiaGazette
















