Bekas Panglima Tentera Darat Malaysia bersama dua isterinya tiba sambil diiring pegawai SPRM bagi mendapatkan perintah reman berkait projek perolehan ketenteraan, ketika di Mahkamah Majistret Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 08 JANUARI 2026

 

KUALA LUMPUR – Bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Hafizuddiean Jantan serta isterinya, Salwani Anuar akan didakwa  di Mahkamah Khas Rasuah, dekat sini, esok.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, pihaknya sudah mendapat izin daripada Peguam Negara untuk mendakwa pasangan suami isteri itu, masing-masing dengan empat pertuduhan setiap seorang di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Hafizuddiean juga akan didakwa dengan dua lagi pertuduhan di bawah seksyen serta akta yang sama di Mahkamah Khas Rasuah Shah Alam, Selangor pada Jumaat, 23 Januari 2026.

Manakala, Salwani akan didakwa dengan satu lagi pertuduhan di bawah seksyen serta akta yang sama di Mahkamah Sesyen Jertih, Terengganu pada Isnin, 26 Januari 2026, kata SPRM dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, SPRM juga telah memperoleh izin mendakwa terhadap bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Mohd Nizam Jaafar di Mahkamah Khas Rasuah Kuala Lumpur pada Jumaat, 23 Januari 2026.

Mohd Nizam akan didakwa dengan dua pertuduhan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 susulan siasatan salah guna kuasa dan siasatan melibatkan Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT), satu pertuduhan pecah amanah di bawah Seksyen 409 serta satu pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

SPRM berkata, siasatan terhadap dua lagi pegawai kanan ATM kini berada di peringkat akhir dan kertas siasatan akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk tindakan selanjutnya.

SPRM menegaskan komitmen berterusan suruhanjaya ini dalam memastikan setiap kesalahan rasuah dan salah guna kuasa ditangani secara tegas, telus dan tanpa sebarang kompromi, selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast