MELAKA – Naib Canselor Kolej Universiti Manipal Malaysia (MUCM), Prof Dr G. Jayakumar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan memperdaya bekas naib canselor kolej universiti itu lima tahun lalu.
Tertuduh yang berusia 64 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkaitan lantikan ketua perunding dengan bayaran RM20,000 sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika itu merupakan pensyarah kanan di kolej universiti berkenaan telah memperdaya Jaspal Singh yang juga naib canselor bagi melantik pensyarah di Universiti Perdana Kuala Lumpur pada waktu itu sebagai Ketua Perunding Program Kurikulum dan Pembangunan Akademik.
Lantikan itu bagi membangunkan modul program terapi pekerjaan dengan bayaran RM20,000 walaupun lantikan itu melanggar kontrak kerja dan Universiti Perdana.
Kesalahan itu dilakukan di pejabat MUCM dalam daerah Melaka Tengah pada 3 Mei 2021.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 417, Kanun Keseksaan yang boleh dipenjarakan sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Sharina Farhana Nor Sa’ari mencadangkan jaminan RM20,000 dengan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri sekali setiap bulan di pejabat SPRM Melaka.
Peguam, Azrul Zulkifli Stork tidak membuat bantahan terhadap permohonan pihak pendakwaan.
Elesabet kemudian membenarkan permohonan pendakwaan beserta jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin.
Kes akan disebut semula 9 Mac ini untuk serahan dokumen. – MalaysiaGazette
















