KUALA LUMPUR – Seorang pegawai kanan tentera membuat laporan polis dan mengambil tindakan undang-undang terhadap aktivis Chegubard berhubung beberapa dakwaan yang disebarkan di media sosial.
Mejar Jeneral Faridhulathroth Hashim berkata, Chegubard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin menyiarkan beberapa hantaran di Facebook yang mengandungi tuduhan palsu, berniat jahat dan berunsur fitnah sejak 31 Disember tahun lalu.
Ini termasuk tuduhan rasuah, salah guna kedudukan, sumber awam dan terlibat dalam ‘operasi sulit’ yang menyalahi undang-undang, serta kewujudan safe house untuk menyimpan sejumlah besar wang tunai.
Tegasnya, kesemua tuduhan tersebut telah mencemarkan nama baik beliau sebagai pegawai kanan tentera.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya semua tuduhan ini. Selama ini, saya menjalankan tugas saya sebagai Penolong Ketua Staf (risikan) dengan penuh ketekunan, menurut undang-undang dan berintegriti,” katanya dalam satu kenyataan.
Tegas Faridhulathroth, beliau mahu membawa perkara itu ke mahkamah dan peguamnya akan menghantar surat tuntutan kepada Badrul.
Beliau juga menggesa orang ramai agar tidak berkongsi semula kandungan yang dimuat naik Chegubard kerana ia kini menjadi subjek siasatan polis.
Dalam satu hantaran media sosial pada 31 Disember, Badrul menuduh beberapa pegawai kanan tentera melakukan salah laku yang dikaitkan dengan tender perolehan dan risikan tentera.
Antara yang dinamakan ialah Presiden Pusat Pendidikan Pertahanan Nasional, Sabri Zali, seorang laksamana madya, yang secara terbuka menafikan dakwaan tersebut dan memfailkan saman terhadap aktivis berkenaan. -MalaysiaGazette
















