KUALA LUMPUR – Ibu bapa akan diberi peluang untuk mendaftarkan anak-anak berusia enam tahun memasuki Tahun 1 secara sukarela bermula 2027 selaras dengan pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 yang diluncurkan oleh Perdana Menteri.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, inisiatif itu merupakan antara prakarsa yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memberi lebih fleksibiliti kepada ibu bapa dalam menentukan laluan pendidikan awal anak-anak.
Menurut beliau, inisiatif berkenaan bukan sesuatu yang baharu kerana ia telah dilaksanakan di banyak negara lain sebagai langkah membolehkan kanak-kanak menyertai sektor pekerjaan pada usia lebih muda pada masa hadapan.
“Ia telah dilaksanakan di banyak negara bagi membolehkan anak-anak menyertai sektor pekerjaan pada usia lebih muda sekali gus menangani isu yang terkait dengan negara menua (ageing nation),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Anwar mengumumkan bermula tahun depan, pendidikan prasekolah akan bermula pada usia lima tahun, sementara tahun satu pula akan bermula pada usia enam tahun.
Namun Anwar menjelaskan, perubahan masih belum diwajibkan kepada ibu bapa, bagi memberi ruang kepada pelbagai pihak bersedia kepada persekitaran baru pendidikan khususnya warga pendidik.
Bagaimanapun, Fadhlina menegaskan, pelaksanaan dasar tersebut tidak akan dibuat secara tergesa-gesa sebaliknya memberi pilihan sepenuhnya kepada ibu bapa berdasarkan tahap kesediaan anak masing-masing.
“Inisiatif ini tidak akan dilaksanakan secara terburu-buru. KPM memberikan pilihan kepada ibu bapa untuk mendaftarkan anak-anak yang bersedia mengikuti persekolahan peringkat rendah lebih awal,” jelasnya.
Beliau berkata, kesediaan kanak-kanak itu akan ditentukan berdasarkan keputusan saringan diagnostik yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Kesediaan anak-anak merujuk kepada keputusan saringan diagnostik yang ditetapkan,” katanya.
Mengulas mengenai struktur persekolahan, Fadhlina menjelaskan, tiada sebarang perubahan akan dibuat terhadap tempoh pendidikan sedia ada walaupun kemasukan awal ke Tahun 1 dilaksanakan.
“Tidak. Struktur pendidikan rendah sedia ada adalah selama enam tahun. Seterusnya, pendidikan peringkat menengah selama lima tahun dan tamat peringkat menengah atas pada umur 16 tahun (15+),” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberi jaminan KPM sedang membuat persediaan rapi bagi memastikan pelaksanaan inisiatif berkenaan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“KPM sedang menambah kelas prasekolah di seluruh negara. Perancangan turut dilakukan untuk menyediakan bilik darjah tambahan dan prasarana lain secara bersasar,” katanya.
Menurut Fadhlina, keperluan tambahan guru juga sedang ditangani secara proaktif bagi memastikan kualiti pendidikan terus terpelihara selaras dengan aspirasi pendidikan negara di bawah kerangka Malaysia Madani. – MalaysiaGazette
















