Dr. Wan Mohd Afiq Wan Mohd Khalik menerima Anugerah Pembentang Terbaik pada International Conference on Biodiversity, Science and Technology 2026.

KUALA NERUS – Penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Wan Mohd Afiq Wan Mohd Khalik, mencatatkan kejayaan membanggakan apabila dinobatkan sebagai Penerima Anugerah Pembentang Terbaik pada International Conference on Biodiversity, Science and Technology 2026 yang berlangsung di Universiti Mahasarakhram, Thailand, baru-baru ini.

Persidangan antarabangsa berkenaan merupakan penganjuran kali ketiga oleh Fakulti Sains dan Fakulti Teknologi, Universiti Mahasarakhram dan melibatkan penyertaan seramai 150 pembentang dari pelbagai negara termasuk Thailand, Indonesia, Filipina, Vietnam, Taiwan dan Jepun.

Pada persidangan tersebut, Dr. Wan Mohd Afiq membentangkan hasil kajian berkaitan pembangunan kaedah analisis mikro bagi pengesanan residu antidepresi di dalam air yang memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan pemantauan pencemaran farmaseutikal dalam persekitaran akuatik.

Kajian itu merupakan projek penyelidikan di bawah dana Fundamental Research Grant Scheme (FRGS) yang disokong oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia.

Menurut beliau, pengiktirafan yang diterima membuktikan kepentingan penyelidikan berteraskan kelestarian yang semakin mendapat perhatian di peringkat antarabangsa.

“Anugerah ini adalah pengiktirafan terhadap usaha penyelidikan yang dijalankan serta sokongan berterusan UMT dan Kementerian Pendidikan Tinggi dalam memperkukuhkan penyelidikan berimpak tinggi,” katanya.

Persidangan tersebut merangkumi pelbagai bidang termasuk biodiversiti, kimia dan bahan termaju, biologi, perubahan iklim, pertanian dan makanan, sains gunaan, serta data dan permodelan untuk kemampanan, sekali gus mengukuhkan peranan UMT sebagai institusi penyelidikan yang aktif di peringkat global. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast