SHAH ALAM – Mahasiswa Perhubungan Awam Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam melalui agensi pelajar, PRhythm Agency, menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) PR Cilik di Sekolah Kebangsaan Pulau Tuba, Langkawi, Kedah, baru-baru ini.
Program yang bertemakan “Suara Kecil, Impak Besar” ini melibatkan 103 orang murid sekolah rendah, dengan objektif memberi pendedahan awal terhadap dunia komunikasi dan media melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman yang interaktif, kreatif dan menyeronokkan.
Pelbagai aktiviti hands-on diketengahkan termasuk Pembaca Berita Cilik, DJ Cilik, Junior Reporter, serta permainan berasaskan komunikasi dan kerjasama seperti Menara Pintar, Radio Rosak dan Lompat, Pusing, Fokus! yang dirangka khusus untuk meningkatkan keyakinan diri, kemahiran komunikasi lisan dan bukan lisan, kreativiti serta pemikiran kritikal murid.
Menurut Penasihat Program PR Cilik, Abuzar Abdul Halim, inisiatif ini bukan sekadar aktiviti kokurikulum, sebaliknya satu platform pembelajaran bermakna yang memberi ruang kepada murid untuk berani mencuba dan mengekspresikan idea mereka.
“Program ini memberi peluang kepada anak-anak pelajar untuk belajar berkomunikasi dengan lebih yakin, berani bercakap di hadapan orang ramai serta mencuba perkara baharu melalui aktiviti yang menyeronokkan,” katanya.
Sementara itu, Guru Besar SK Pulau Tuba, Razif Md. Rashid menyifatkan penganjuran PR Cilik sebagai peluang berharga kepada murid luar bandar untuk membina keyakinan diri dan kemahiran insaniah sejak usia muda.
“Aktiviti seperti Little News Anchor dan DJ Cilik bukan sahaja menyeronokkan, malah membantu murid berani bersuara dan bercakap di hadapan khalayak, satu kemahiran penting untuk masa depan mereka,” ujar beliau.
Ketua Program, Wan Safiah Abdullah Sani, menjelaskan PR Cilik dirangka oleh pelajar tahun akhir Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) Perhubungan Awam UiTM sebagai usaha menghubungkan ilmu universiti dengan keperluan komuniti sebenar.
“Tema ‘Suara Kecil, Impak Besar’ membawa mesej idea dan suara murid, walaupun kecil, mampu mencetus perubahan positif apabila digunakan dengan cara yang betul,” katanya.
Selain memberi manfaat kepada komuniti Pulau Tuba, program ini turut menjadi medan pembelajaran praktikal kepada pelajar UiTM untuk mengaplikasikan ilmu perhubungan awam, pengurusan acara dan komunikasi strategik dalam situasi sebenar, di samping membina
kemahiran kepimpinan, empati dan kerja berpasukan.
Penganjuran PR Cilik juga selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG 4: Pendidikan Berkualiti) dengan memperluas akses pembelajaran tidak formal kepada komuniti yang mempunyai pendedahan terhad terhadap dunia komunikasi dan media.
Dengan sambutan positif daripada pihak sekolah dan komuniti setempat, PR Cilik membuktikanbahawa pendidikan komunikasi boleh disampaikan secara kreatif dan inklusif, sekali gus mengukuhkan peranan UiTM sebagai institusi yang komited terhadap pembangunan komuniti
dan pembelajaran abad ke-21. – Malaysiagazette
















