Wanita SPRM
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memperhebatkan siasatan terhadap premis-premis yang terlibat dalam pengimportan sisa elektronik (e-waste) secara haram ke negara ini.

Menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, hasil risikan mendapati dianggarkan antara 2,000 hingga 3,000 kontena mengandungi e-waste telah diseludup masuk melalui pelabuhan utama negara.

Syarikat-syarikat yang terlibat dipercayai dimiliki oleh warga asing dan mengimport sisa elektronik, plastik serta kertas untuk diproses bagi tujuan kitar semula. Komponen berharga seperti tembaga, aloi dan emas diambil manakala baki sisa dilupuskan secara membakar, menanam atau dibuang terus sehingga mencemarkan udara dan sumber air.

SPRM tidak menolak kemungkinan kegiatan itu dilindungi oleh pihak berkuasa tertentu yang sepatutnya bertanggungjawab mengekang kemasukan sisa pepejal tersebut.

Jika tidak dibanteras secara menyeluruh, ia berpotensi mengakibatkan pencemaran serius kepada negara.

Bagi menangani isu ini, Mesyuarat Petugas Khas Berkaitan Penguatkuasaan E-Waste telah ditubuhkan dengan keanggotaan 12 agensi termasuk SPRM, Agensi Kawalan Penerimaan Sisa (AKPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Mesyuarat ini akan meneliti undang-undang khusus berkaitan e-waste dan melaksanakan tindakan penguatkuasaan yang lebih berkesan bagi memastikan kegiatan penyeludupan dapat dibanteras sehingga ke akar umbi.

SPRM memandang serius isu ini dan memberi amaran kepada pihak berkuasa yang terlibat agar segera menghentikan pengimportan e-waste. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast