MELAKA – Hasrat seorang wanita membayar deposit RM8 bagi tempahan membaiki mesin basuh berakhir dengan kerugian RM8,800 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan melalui Facebook, Ahad lalu.
Dalam kejadian kira-kira 4 petang, mangsa wanita berusia 37 tahun itu dikatakan melayari Facebook di rumahnya di Kampung Tun Razak, Bukit Katil untuk mencari perkhidmatan membaiki mesin basuh.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, operator kilang itu kemudian menemui satu akaun Facebook menggunakan nama ‘Mesin Basuh Dr Washy Singapore Washing Machine’.

“Mangsa kemudian menghubungi individu terbabit melalui aplikasi WhatsApp di nombor tertera sebelum diberikan satu pautan bagi tujuan pembayaran deposit sebanyak RM8.
“Selepas menekan pautan, operator kilang itu mendapati berlaku tiga transaksi pengeluaran wang daripada akaun Maybank miliknya sehingga menyebabkan kerugian keseluruhan wang simpanan berjumlah RM8,800,” katanya.
Tambahnya, mangsa yang menyedari dirinya ditipu tampil membuat laporan di Balai Polis Ayer Keroh pada hari yang sama.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – MalaysiaGazette
















