Oleh: Dr. Ahamad Jama’ Amin Yang
PENGALAMAN perubahan politik Eropah moden membuktikan bahawa kuasa tidak runtuh kerana ketiadaan jasa, tetapi kerana keengganan menyesuaikan pemikiran dengan realiti zaman. UMNO kini berdepan ujian yang sama. Dalam politik, sejarah boleh menjadi panduan atau perangkap. Ia menjadi panduan apabila dihayati secara kritis, tetapi bertukar menjadi perangkap apabila dijadikan alasan untuk tidak berubah. UMNO hari ini berada tepat di persimpangan ini, antara mempertahankan sejarah gemilang atau berani menilai semula arah perjuangan dalam landskap politik yang semakin berubah.
Menilai kedudukan UMNO dalam politik Malaysia semasa tidak memadai dengan mengulang jasa silam atau menafikan peranannya dalam pembinaan negara. Politik tidak bergerak atas dasar sentimental, sebaliknya ditentukan oleh keupayaan membaca perubahan masyarakat, menjawab tuntutan generasi baharu dan membina keyakinan masa depan. Parti yang gagal berbuat demikian jarang tumbang secara mendadak, tetapi perlahan-lahan kehilangan makna dan kepercayaan rakyat.
Dalam konteks ini, pengalaman perubahan besar di Eropah Moden sekitar abad ke-16 hingga ke-19 menawarkan pengajaran yang signifikan. Eropah tidak muncul sebagai kuasa dunia kerana setia mempertahankan tradisi lama, tetapi kerana berani merombaknya apabila
tradisi itu gagal mengurus realiti baharu. Konflik berdarah seperti Perang 100 Tahun, Perang 80 Tahun dan Perang 30 Tahun sekitar abad ke-14 hingga 17 bukan sekadar peperangan wilayah, tetapi tanda kegagalan sistem politik lama mengurus masyarakat yang semakin kompleks.
Keletihan akibat konflik memaksa Eropah bertanya soalan asas tentang legitimasi kuasa. Jawapannya melahirkan Perjanjian Westphalia pada 1648, yang menandakan peralihan besar kepada konsep kedaulatan negara, sempadan wilayah dan perundangan sebagai asas pemerintahan. Politik mula dibina atas rasionaliti pentadbiran, bukan lagi simbol agama atau warisan dinasti. Keberanian memutuskan hubungan dengan kerangka lama inilah yang membuka jalan kepada negara moden.
Pengajaran ini wajar direnungi oleh UMNO. Parti ini lahir dalam konteks kolonialisme dan keperluan mendesak untuk mempertahankan kepentingan Melayu. Dalam tempoh panjang selepas kemerdekaan, UMNO berperanan sebagai teras pembinaan negara, membentuk dasar ekonomi dan mengekalkan kestabilan politik. Sejarah ini penting dan tidak wajar dipadamkan. Namun, seperti Eropah pra-Westphalia, kejayaan silam juga boleh menjadi beban jika dijadikan alasan untuk menolak perubahan. Masyarakat Melayu hari ini bukan lagi masyarakat awal kemerdekaan. Pendidikan semakin meluas, akses maklumat semakin terbuka dan kesedaran politik semakin matang. Generasi baharu tidak lagi menerima autoriti politik berasaskan sejarah semata-mata, tetapi menilai kepimpinan melalui idea, integriti dan keupayaan menyelesaikan masalah sebenar.
Kelesuan idea dan politik yang terlalu selesa dengan masa lalu Masalah utama UMNO hari ini bukan sekadar penurunan sokongan pilihan raya, tetapi kelesuan pemikiran politik. Perbahasan dalaman parti sering berlegar pada soal kedudukan, percaturan kuasa dan kelangsungan elit, bukannya usaha membina gagasan besar tentang masa depan negara dan orang Melayu. Politik direndahkan menjadi urusan survival jangka pendek.
Dalam politik moden, kuasa tidak lagi dimenangi melalui simbol atau slogan semata-mata. Ia ditentukan oleh keupayaan membentuk naratif yang rasional dan meyakinkan. Sejarah Eropah membuktikan bahawa kebangkitan Barat bukan hanya didorong oleh kekuatan ekonomi atau ketenteraan, tetapi oleh keberanian intelektual mencabar pengetahuan lama. Watak seperti Jan Huygen van Linschoten mengubah geopolitik dunia bukan kerana memegang jawatan politik, tetapi kerana berani membongkar monopoli ilmu dan membuka cara berfikir baharu melalui karya monumentalnya, ‘Itinerario’ pada 1596.
Dalam konteks UMNO, kegagalan melahirkan kepimpinan yang berfungsi sebagai pemikir politik semakin ketara. Parti ini masih bergelut untuk membina gagasan yang benar-benar mampu menjawab cabaran ekonomi, institusi dan sosial abad ke-21. Akibatnya, UMNO gagal membina keyakinan generasi muda yang melihat politik sebagai ruang idea, bukan medan perlindungan elit.
Lebih membimbangkan ialah budaya defensif yang melihat kritikan sebagai ancaman. Sejarah Eropah menunjukkan institusi yang menutup ruang pembaharuan akhirnya kehilangan legitimasi. Gereja dan monarki mutlak runtuh bukan kerana musuh terlalu kuat, tetapi kerana kegagalan menyesuaikan diri dengan realiti baharu. Dalam politik, keengganan berubah sering kali lebih berbahaya daripada kesilapan itu sendiri.
Konsensus, perlembagaan dan keberanian membetulkan arah
Transformasi Eropah juga mengajar bahawa konflik politik yang berpanjangan tanpa kerangka bersama hanya menghasilkan keletihan kolektif yang memenatkan. Perang 30 Tahun memaksa Eropah mencari konsensus baharu demi kelangsungan bersama.
Dalam konteks Malaysia, politik yang terlalu berasaskan pertembungan dan dendam lama bukan sahaja melemahkan parti, tetapi menghakis kepercayaan rakyat terhadap keseluruhan sistem politik. UMNO perlu membaca semula makna konsensus sebagai strategi kebijaksanaan dalam masyarakat majmuk, bukan sebagai tanda kelemahan prinsip. Konsensus hanya bermakna jika disertai tadbir urus yang telus, berintegriti dan berpaksikan Perlembagaan Persekutuan sebagai asas legitimasi negara.
Sejarah syarikat imperialis seperti Syarikat Hindia Timur Inggeris (EIC) dan Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC) menunjukkan kuasa yang bertahan lama ialah kuasa yang membina legitimasi melalui undang-undang dan pentadbiran, bukan semata-mata kekuatan. Dalam konteks Malaysia, Perlembagaan tidak boleh dijadikan alat politik jangka pendek, sebaliknya perlu dihormati sebagai kontrak sosial yang menjamin kestabilan dan keharmonian negara.
Cabaran sebenar UMNO hari ini ialah keberanian untuk melakukan pembetulan arah secara menyeluruh. Ini menuntut kejujuran mengakui kelemahan, kesediaan membina budaya politik berteraskan ilmu dan merit, serta keberanian melahirkan kepimpinan baharu yang berfikir melangkaui kitaran pilihan raya.
Dalam perjalanan membina sebuah negara, sejarah tidak pernah menuntut kesempurnaan, tetapi kejujuran dan keberanian untuk memperbaiki kesilapan. UMNO lahir daripada semangat perjuangan bangsa dan negara dan jasa itu tetap terpahat dalam perjalanan Malaysia. Namun, cinta kepada negara bukan sekadar mengingati kemenangan silam, sebaliknya memastikan masa depan tidak tergadai oleh kealpaan hari ini.
Rakyat tidak mengharapkan kesempurnaan, tetapi keikhlasan kepimpinan untuk mendengar, berubah dan memimpin dengan amanah. Jika UMNO benar-benar mahu terus menjadi sebahagian daripada denyut nadi negara ini, parti itu perlu membuktikan
perjuangan bangsa tidak terhenti pada sejarah, tetapi diteruskan melalui kebijaksanaan, keadilan dan keberanian membina masa depan Malaysia yang lebih kukuh, bersatu dan bermaruah. Sejarah telah membuka pintu. Kini terpulang kepada UMNO sama ada melangkah ke hadapan bersama rakyat, atau sekadar berdiri sebagai saksi kepada perubahan zaman yang tidak menunggu sesiapa.
Penulis adalah Pensyarah Jabatan Sejarah, Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim, Kedah merangkap Felo Bersekutu Royal Historical Society, United Kingdom.
















