KLANG – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berjaya menghalang penyeludupan daging babi sejuk beku seberat 49,972.74 kilogram bernilai RM660,137.85 dari Sepanyol pada 20 Januari lalu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, rampasan dibuat pihaknya setelah pemeriksaan fizikal dilakukan ke atas dua kontena di tapak pemeriksaan kontena Gudang CFS 4, Pelabuhan Klang Barat Selasa lalu.
“Hasil pemeriksaan mendapati, kedua-dua kontena tersebut membawa dagangan babi sejuk beku (produk haiwan) yang diimport dari Sepanyol oleh sebuah syarikat tempatan.
“Siasatan lanjut mendapati babi sejuk beku itu dibawa masuk ke Pelabuhan Klang Barat tanpa memiliki Permit Import MAQIS yang sah.
“Penyeludupan itu dikesan hasil pemeriksaan dokumentasi mendapati permit import sudah tamat tempoh,” katanya pada sidang media di Pelabuhan Klang Barat hari ini.

Selain itu, katanya, AKPS juga menggagalkan cubaan menyeludup baby pig seberat 27,000.90 kilogram yang bernilai RM495,740.30 dipercayai dari Belgium pada 14 Januari lalu.
“Rampasan itu dilakukan sepasukan AKPS selepas melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kontena di tapak pemeriksaan kontena Gudang CFS 4, Pelabuhan Klang Barat.
“Daging baby pig ini dibawa masuk sebuah syarikat tempatan bagi memenuhi permintaan yang tinggi sempena sambutan Tahun Baharu Cina, Februari ini,” katanya.

Menurut Shuhaily, kesemua rampasan daging babi sejuk beku seberat 76,973.64 kilogram dengan nilai keseluruhan berjumlah RM1,155,878.15 disiasat di bawah Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).
“Siasatan lanjut mendapati bahawa dagangan tersebut telah dibawa masuk ke Pelabuhan Klang Barat tanpa mematuhi syarat Permit Import MAQIS,” katanya.
Sehubungan itu, kesemua dagangan terlibat telah disita bagi tujuan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“AKPS ingin menegaskan bahawa pihak kami tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan membawa masuk dagangan khususnya produk haiwan tanpa pematuhan kepada syarat perundangan.
“Ini kerana ia boleh memberi risiko kepada keselamatan bio sekuriti, kesihatan awam serta industri tempatan termasuk ancaman Penyakit Demam Babi Afrika (ASF),” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















