KUALA LUMPUR – Orang ramai khususnya umat Islam dinasihatkan supaya tidak terpengaruh dengan kandungan tidak bermoral di media sosial, sebaliknya memberi tumpuan kepada isu-isu lebih besar melibatkan kepentingan ummah seperti ekonomi, pendidikan dan pembangunan masyarakat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, masyarakat perlu melihat gambaran lebih besar dan tidak membazirkan masa dengan perkara-perkara remeh yang tidak memberi manfaat.
“Apabila kita menghabiskan masa dengan perkara sebegini, kita sebenarnya membuang masa. Apa yang lebih penting ialah memikirkan soal umat, ekonomi dan pendidikan yang wajar diwacanakan secara serius,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan ke tapak pembinaan Masjid Warisan di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keresahan masyarakat susulan tular perkongsian seorang pempengaruh media sosial yang mempromosikan cara mencerahkan dan mengetatkan alat kelamin wanita, yang disifatkan mencemarkan kemuliaan wanita serta nilai moral masyarakat.
Sementara itu, mengulas mengenai insiden di Melaka melibatkan seorang setiausaha masjid yang didakwa menonton bahan lucah di dalam masjid, beliau menegaskan perbuatan itu jelas mencemarkan kesucian dan imej institusi masjid.
Katanya, pihak berkuasa agama sebelum ini telah berulang kali memberikan nasihat dan peringatan kepada masyarakat berhubung bahaya serta larangan terhadap amalan maksiat yang bertentangan dengan ajaran Islam.
“Perkara itu sudah jelas tidak dianjurkan oleh Islam dan merupakan perbuatan maksiat,” katanya.
Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa hal ehwal agama ketika ini memberi penekanan kepada pemerkasaan institusi masjid, termasuk pengisian program serta elemen yang dapat memperkukuh peranan masjid sebagai pusat pembangunan rohani dan sosial masyarakat.
“Masjid perlu terus diperkasakan dengan pengisian yang baik supaya ia benar-benar menjadi institusi contoh kepada masyarakat,” katanya. – MalaysiaGazette
















