MELAKA – Tular di media sosial tangkap layar gambar seorang lelaki yang didakwa menyamar sebagai anggota Skuad 42 Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan mensasarkan kaum wanita di sekitar kawasan Batu Berendam.
Lebih membimbangkan, mesej tular tersebut, mendakwa lelaki terbabit bertindak menahan wanita sebelum meminta wang kononnya bagi mengelakkan tindakan saman.
Sekiranya mangsa enggan menyerahkan wang, individu itu akan membuat ugutan lebih serius dengan memaksa mangsa memuaskan nafsu seksualnya selama lima minit.
“Tolong repost status ini untuk keselamatan kaum hawa. Mamat ini menyamar jadi Skuad 42.
“Dia tahan perempuan, lepas itu minta duit atau kena saman. Kalau tak bagi, dia suruh puaskan nafsu dia selama lima minit. Area Batu Berendam, Melaka,” menurut kandungan mesej tular itu.
Dakwaan tersebut turut disertakan gambar lelaki yang dikatakan terlibat, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
Skuad 42 adalah sebuah unit khas PDRM yang menjalankan penguatkuasaan trafik untuk membanteras lumba motosikal haram, menggunakan rondaan serta penyamaran dengan mengenakan pakaian awam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi mengesahkan kes telah diambil Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.
Menurutnya, sebarang kenyataan lanjut akan dikeluarkan sebaik menerima laporan penuh D11. – MalaysiaGazette
















