Ibu Pejabat Bank Negara Malaysia di Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 17 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia hari ini memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus.

Bank Negara dalam kenyataannya berkata, pada tahap OPR semasa, MPC berpendapat bahawa pendirian dasar monetari adalah wajar dan memberikan sokongan terhadap ekonomi dalam keadaan harga yang stabil.

“MPC akan terus memantau perkembangan semasa dan menilai imbangan risiko berhubung dengan prospek pertumbuhan dan inflasi dalam negeri,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi tahun 2025 dijangka berada sekitar paras atas julat unjuran dan momentum itu diunjur berterusan pada tahun 2026, disokong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan.

Ini termasuk perbelanjaan isi rumah yang didukung guna tenaga, pertumbuhan upah serta langkah-langkah dasar berkaitan pendapatan.

Aktiviti pelaburan pula akan didorong oleh kemajuan projek berbilang tahun yang dilaksanakan dalam sektor swasta dan awam, pelaksanaan projek awam baharu yang berskala kecil, lebih banyak pelaksanaan berterusan pelaburan yang telah diluluskan, serta pelan induk nasional yang terus dilaksanakan.

Sektor luaran akan mendapat manfaat daripada eksport elektrik dan elektronik (E&E) yang terus kukuh serta perbelanjaan pelancong yang lebih tinggi.

“Prospek pertumbuhan ini kekal tertakluk pada ketidakpastian, khususnya berhubung dengan perkembangan global. Risiko prospek pertumbuhan menjadi perlahan kekal berpunca daripada perdagangan global yang lebih perlahan dan pengeluaran komoditi yang lebih rendah daripada jangkaan,” ujarnya.

Sementara itu, potensi pertumbuhan menjadi pesat boleh berpunca daripada prospek pertumbuhan global yang lebih baik, permintaan terhadap barangan E&E yang lebih kukuh dan aktiviti pelancongan yang lebih giat.

Inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing berpurata sebanyak 1.4% dan 2% pada tahun 2025.

Bagi tahun 2026, inflasi keseluruhan dijangka kekal sederhana berikutan keadaan kos global yang terus reda.

Harga komoditi global dijangka kekal sederhana, lantas menyumbang kepada keadaan kos dalam negeri yang terkawal. Sementara itu, inflasi teras pada tahun 2026 dijangka kekal stabil dan hampir dengan purata jangka panjangnya, mencerminkan pengembangan berterusan dalam kegiatan ekonomi serta ketiadaan tekanan permintaan yang berlebihan.

Menurut Bank Negara, pertumbuhan global pada tahun 2025 lebih tinggi daripada jangkaan, tarif yang lebih rendah daripada jangkaan, perbelanjaan yang lebih tinggi untuk teknologi yang didorong oleh kecerdasan buatan (AI) dan sokongan fiskal yang lebih kukuh.

Bagi tahun 2026 katanya, meskipun kesan tarif boleh mempengaruhi pertumbuhan global, prospek pertumbuhan kekal berdaya tahan, disokong oleh permintaan dalam negeri yang berterusan, inflasi yang semakin berkurang, pelaburan teknologi yang mantap serta sokongan dasar fiskal dan monetari.

“Risiko pertumbuhan menjadi perlahan terus wujud disebabkan oleh kemungkinan tarif yang lebih tinggi, ketegangan geopolitik yang semakin meruncing dan volatiliti yang ketara dalam pasaran kewangan global.

“Selain itu, masih terdapat kebimbangan yang berterusan terhadap penilaian yang tinggi dalam pasaran kewangan,” katanya lagi.

Menurut Bank Negara, pertumbuhan berpotensi menjadi pesat termasuk perbelanjaan untuk teknologi yang lebih kukuh, kesan tarif yang lebih sederhana terhadap kegiatan ekonomi serta dasar yang menyokong pertumbuhan di negara-negara maju. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast