Adnan Mat
Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaaan atas pelaksanaan Fasa Kedua pelarasan gaji di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) sebanyak tujuh peratus yang berkuat kuasa hari ini.

Ia melibatkan lebih 1.6 juta penjawat awam di seluruh negara.

Presiden CUEPACS, Datuk Dr Adnan Mat berpandangan pelarasan gaji itu merupakan satu langkah signifikan yang memberi kelegaan kepada penjawat awam dalam menghadapi cabaran kos sara hidup semasa.

Pada masa yang sama, ia turut menjadi suntikan motivasi untuk terus memperkukuh komitmen dalam menyampaikan perkhidmatan awam yang cekap, berintegriti dan berorientasikan kepentingan rakyat.

“Seiring dengan penegasan kerajaan bahawa pelarasan gaji ini merupakan satu amanah, CUEPACS menyeru seluruh penjawat awam agar menterjemahkan kepercayaan yang diberikan melalui peningkatan prestasi kerja, pengukuhan etika dan disiplin perkhidmatan serta amalan budaya kerja berprestasi tinggi.

“Penjawat awam juga perlu terus meningkatkan profesionalisme, kecekapan serta kepekaan terhadap keperluan rakyat selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI,” katanya dalam kenyataan.

Dari sudut kebajikan jangka panjang, CUEPACS menyambut baik pelaksanaan SSPA sebagai satu reformasi penting dalam sistem perkhidmatan awam negara.

Bagaimanapun, CUEPACS akan terus memantau pelaksanaannya dari semasa ke semasa dan bersedia mengemukakan cadangan penambahbaikan mengikut kesesuaian skim perkhidmatan.

“Perhatian khusus perlu diberikan terhadap isu yang terkait tentang kebajikan penjawat awam berkaitan beban tugas serta skim tertentu seperti skim Pentadbiran yang masih memerlukan penelitian lanjut kerana belum menunjukkan perubahan ketara dalam pelaksanaan SSPA,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast