Tertuduh, Muhammad Syafian Muhammad, 27, didenda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini selepas mengaku bersalah merosakkan lampu pagar di kawasan tanah perkuburan di sini menggunakan kayu, minggu lalu.

MELAKA – Seorang pemuda didenda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini selepas mengaku bersalah merosakkan lampu pagar di kawasan tanah perkuburan di sini menggunakan kayu, minggu lalu.

Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Muhammad Syafian Muhammad, 27, sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan merosakkan lampu pagar di kawasan tanah perkuburan Masjid An-Nur, Bukit Peringgit, dalam daerah Melaka Tengah di sini sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM2,180.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira jam 7.15 malam 16 Januari 2026.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Syaza Nur Sharif, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal ke atas tertuduh.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak mengemukakan sebarang rayuan.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM4,500 atau enam bulan penjara jika gagal bayar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast