FB Armizan Mohd Ali

KUALA LUMPUR – Melalui pelaksanaan pelarasan gaji Fasa 2, penjawat awam kini mula menikmati pelarasan gaji keseluruhan sebanyak 15 peratus seperti yang telah dijanjikan kerajaan.

Fasa pertama melibatkan kenaikan sebanyak lapan peratus telah mula diterima sejak 1 Disember 2024 manakala baki tujuh peratus lagi mula dinikmati bermula gaji bulan Januari 2026.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ia nilai dan makna sebenar agenda serta dasar Kerajaan MADANI dalam menangani isu kos sara hidup rakyat.

“Pendekatan yang digerakkan adalah secara serampang dua mata iaitu memastikan kestabilan harga barangan dan perkhidmatan di samping meningkatkan pendapatan sara hidup rakyat secara mampan.

“Justeru, Kerajaan MADANI melaksanakan pelbagai dasar dan program bagi mewujudkan ekosistem yang merangsang peningkatan pendapatan rakyat merangkumi peluang pekerjaan, peningkatan gaji minimum, pelaksanaan dasar gaji progresif, pemerkasaan keusahawanan, penyaluran bantuan tunai bersasar serta pelbagai inisiatif lain yang berteraskan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Armizan hari ini sempat meninjau pelaksanaan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) yang berlangsung di Anjung Seri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Putrajaya yang dilaksanakan setiap bulan bersempena hari gaji.

Sambutan pada hari ini amat menggalakkan bukan sahaja daripada para penjawat awam malah turut melibatkan penduduk sekitar.

FB Armizan Mohd Ali

Selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI dalam menangani isu kos sara hidup rakyat bermula 9 Januari 2026, pelaksanaan PJRM diteruskan dan diperluas secara menyeluruh melibatkan 222 Parlimen, 600 Dewan Undangan Negeri (DUN) serta 40 Zon di Wilayah Persekutuan.

Hari ini juga mempunyai signifikan tersendiri kerana selain hari gaji bulanan, ia merupakan bulan pelaksanaan pelarasan gaji Fasa 2 penjawat awam yang merupakan kesinambungan kepada Fasa 1 yang telah bermula pada Disember 2024.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berkaitan tarikh dan lokasi Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) berhampiran boleh merujuk Takwim PJRM yang dikemas kini dari semasa ke semasa menerusi laman sesawang rasmi KPDN di:
https://www.kpdn.gov.my/en/jualan-rahmah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast