Menteri Luar Negeri yang juga Ahli Parlimen Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 05 OGOS 2025.

KUALA LUMPUR – Rundingan berkaitan persempadanan maritim khususnya antara Malaysia dan Singapura sedang berjalan dan diuruskan dengan baik termasuk isu Batu Puteh, kata Datuk Seri Mohamad Hasan.

Kata Menteri Luar itu, ketika ini, rundingan sedang dijalankan dengan memastikan asas perundingan tersebut tidak menjejaskan kedaulatan serta hak kedaulatan negara.

Menurut beliau, kerajaan berhasrat memastikan rundingan itu berlangsung dalam suasana yang konstruktif berlandaskan persefahaman dan saling menghormati.

“Matlamat utama kita adalah untuk memastikan sebarang keputusan yang dicapai kelak adalah berasaskan prinsip undang-undang antarabangsa.

“Dalam konteks sempadan maritim, rundingan ini hendaklah berpandukan Undang-Undang Laut Antarabangsa khususnya United Nations Convention on the Law of the Sea (UNCLOS) 1982, yang menjadi asas kepada pendirian dan perundingan Malaysia.

“Oleh itu, apa jua bentuk rundingan dan keputusan yang dicapai kelak akan sentiasa mengambil kira kepentingan negara,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa (BN-Tampin) yang meminta kementerian menyatakan kedudukan keselamatan di perairan Batu Puteh serta langkah-langkah yang telah dan akan diambil oleh kerajaan bagi menanganinya.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, kedua-dua negara berjiran turut mengadakan Annual Leaders Retreat bagi mencari jalan untuk menyelesaikan sempadan maritim antara Malaysia dan Singapura. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast