Menteri Luar Negeri yang juga Ahli Parlimen Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA.

KUALA LUMPUR – Status rundingan Kod Tatakelakuan (CoC) Laut China Selatan kini sudah mencapai tahap 70 peratus dan akan dimuktamadkan tidak lama lagi, kata Datuk Seri Mohamad Hasan.

Menteri Luar itu berkata, sebagai kerangka untuk memastikan perairan itu kekal sebagai laluan bebas, selamat dan boleh digunakan, rundingan itu memerlukan perbincangan terperinci dengan negara terbabit.

“CoC ini ada berpuluh-puluh perenggan, namun hampir 70 peratus sudah selesai dalam perbincangan membabitkan negara antarabangsa ini, ia memerlukan perundingan yang halus.

“Perkara utama ia akan dapat selesai, cuma ada tidak berapa banyak perenggan, kita akan tamatkan dan muktamadkan supaya Laut China Selatan bebas menjadi laluan perdagangan yang selamat,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT), di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) yang mahu tahu perkembangan terkini proses rundingan CoC di Laut China Selatan serta peranan dimainkan Malaysia dalam usaha memuktamad usaha terbabit.

CoC adalah lanjutan kepada Dokumen Tatakelakuan (DoC) yang dimeterai pada 2002.

Menjawab soalan tambahan Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) berhubung kedudukan Malaysia di Laut China Selatan selepas memuktamadkan CoC khususnya dalam aspek pelaksanaan latihan ketenteraan, Mohamad berkata, negara akan terus mengadakan latihan ketenteraan di perairan itu.

Tambahnya, latihan ketenteraan di Laut China Selatan akan dilakukan dengan pelbagai negara tanpa menumpukan kepada satu negara sahaja atas hubungan dua hala dan pelbagai hala. – MalaysiaGazetet

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast