KUALA LUMPUR – Tiada tanah rizab Melayu tergadai atau berlakunya pengambilan tanah secara tidak sah dalam menjayakan pembinaan Jalan Pintas Sungai Lalang serta Tapak Perkuburan Awam Persekutuan (Islam) di Hulu Langat, Selangor.
Syarikat yang terlibat, KHK Group berkata, projek tersebut dilaksanakan sepenuhnya mengikut peruntukan undang-undang serta kelulusan pihak berkuasa berkaitan.
Timbalan Pengerusi KHK Group, Datuk Zainol Abidin Mohamed menambah, tanah yang terlibat dengan projek berkenaan juga telah diganti sepenuhnya.
“Tidak ada walau seinci tanah rizab Melayu digadai. Sebaliknya, tanah yang terlibat telah digantikan sepenuhnya dengan keluasan yang sama dan penggantian itu telah mendapat kelulusan Kerajaan Negeri Selangor.
“Untuk makluman, sebanyak 39 ekar tanah rizab Melayu yang terlibat telah digantikan dengan 39 ekar tanah di kawasan berhampiran. Semua proses pengambilan dan penggantian dibuat mengikut prosedur serta undang-undang sedia ada,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Penjelasan itu dibuat susulan dakwaan dan kebimbangan dibangkitkan penduduk Kampung Sungai Pening kepada MalaysiaGazette baru-baru ini berhubung pelaksanaan projek berkenaan.
Penduduk turut membangkitkan isu melibatkan tanah persendirian, status tanah rizab Melayu serta jajaran jalan yang didakwa merentasi kawasan perkuburan selain dakwaan tidak menerima notis pengambilan tanah.

Jalan Sungai Pening, Semenyih. Foto SADIQ SANI, 18 JANUARI 2026
Mengulas lanjut, Zainol menjelaskan dakwaan bahawa sehingga 60 lot tanah persendirian terlibat dalam projek berkenaan juga adalah tidak tepat sebaliknya hanya 35 lot tanah milik persendirian terlibat.
“Jajaran Jalan Pintas Sungai Lalang ini telah dirancang sejak 2016 oleh Majlis Perbandaran Kajang, diluluskan oleh Jawatankuasa Perancangan Negeri Selangor dan dimuktamadkan melalui Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
”Ini bukan projek milik syarikat swasta atau dibina untuk kepentingan beberapa pemaju,” tegas beliau.
Menurutnya, jalan sepanjang 4.3 kilometer itu merupakan jalan awam yang perlu dibina oleh Kerajaan Persekutuan selepas pemberimilikan tanah dibuat oleh Kerajaan Negeri Selangor, sebelum diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor untuk tujuan penyelenggaraan.
“Jalan ini adalah untuk kegunaan orang ramai, khususnya penduduk Semenyih yang telah berdepan kesesakan lalu lintas sejak puluhan tahun. Pembinaan jalan pintas ini dijangka memberi penjimatan masa sehingga 25 minit ke Kuala Lumpur dan sebaliknya,” katanya lagi.
Mengulas kebimbangan berkaitan pengambilan tanah persendirian, Zainol menegaskan tiada istilah ‘tanah dirampas’ dalam pelaksanaan projek berkenaan.
“Semua tanah persendirian yang terlibat akan dibayar pampasan mengikut penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) melalui proses undang-undang. Pampasan akan diuruskan oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian,” ujarnya.

Beliau turut menafikan dakwaan projek tersebut dilaksanakan secara tergesa-gesa memandangkan proses perancangan dan kelulusan telah bermula hampir sedekad lalu serta melibatkan pelbagai agensi kerajaan di peringkat negeri dan persekutuan.
Antara agensi terlibat ialah Majlis Perbandaran Kajang, Pejabat Daerah Hulu Langat, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian, Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Pejabat Tanah dan Galian Selangor, Lembaga Lebuhraya Malaysia, Kerajaan Negeri Selangor serta Kerajaan Persekutuan.
Selain pembinaan jalan pintas, projek berkenaan turut merangkumi pembangunan Tapak Perkuburan Awam Persekutuan (Islam) yang menyediakan kira-kira 104,000 tapak kubur, selain kemudahan surau dan prasarana sokongan lain bagi memenuhi keperluan pengurusan jenazah. -MalaysiaGazette















