KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) perlu mempertimbangkan syor yang dibawa UMNO Wilayah Persekutuan sebelum akta tersebut dibentangkan semula ke Parlimen.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, RUUPSB perlu mengambil kira saranan daripada 14 pihak berkepentingan untuk memperkukuhkan akta kontroversi itu.
“Penangguhan itu dibuat kerana bil ataupun akta yang ada, saya rasa perlu mengambil kira 14 saranan yang telah dikonvensyenkan anjuran UMNO Wilayah Persekutuan yang disertai banyak NGO, ahli-ahli profesional dan individu.
“Saranan itu mahu memperkukuhkan RUU PSB sebelum ia dibentangkan semula di Parlimen dalam sidang yang akan datang,” katanya kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, malam ini.
Terdahulu, Ahmad Zahid menghadiri Majlis Makan Malam Sempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI).

Terdahulu Jemaah Menteri hari ini bersetuju menarik balik RUU PSB bagi tujuan penambahbaikan sebelum dibentangkan semula di Parlimen.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata keputusan itu dibuat selepas Jemaah Menteri membincangkan keperluan mewujudkan suatu rangka undang-undang yang lebih menyeluruh, adil dan berkesan.
Kata Fahmi, ia bagi menangani isu perumahan di kawasan bandar, khususnya yang melibatkan golongan miskin bandar.
Sebelum ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersedia untuk RUU PSB bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, kementerian itu bertekad meneruskan pembentangan RUU berkenaan selepas memperoleh konsensus Jemaah Menteri.
RUU PSB telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama dengan tujuan memastikan kawasan perumahan lama yang uzur, daif dan usang dapat dibangunkan semula secara lebih terancang, adil serta inklusif demi kesejahteraan rakyat. – MalaysiaGazette
















