Gambar dan hantaran dikongsikan Mohd Fikry Amri

MELAKA – Bayi kedua daripada kembar tiga pasangan Mejar Ir Ts Mohd Fikry Amri Abd Halim dan Sabrina Hakiem Zaini dilaporkan berada dalam keadaan tenat dan semakin lemah.

Perkembangan menyayat hati itu dikongsikan Mohd Fikry menerusi satu hantaran di Facebook semalam memaklumkan keadaan anak perempuannya itu yang kini bertarung nyawa.

“Mohon semua yang mengenali saya dan isteri untuk mendoakan kesembuhan dan keselamatan anak kami, Maryam Al Khawla (kembar nombor dua).

“Semoga ada keajaiban dan syifa atas berkat doa kalian semua. Hanya doa kalian yang kami pinta. Doakan kami terus kuat menempuh ujian ini,” katanya sambil berkongsi gambar terkini anaknya itu.

Sementara itu, Sabrina dalam hantaran sama menulis keadaan bayi berusia hampir tiga bulan itu masih membimbangkan walaupun beberapa perkembangan klinikal menunjukkan sedikit perubahan positif.

Menurutnya, bacaan bilirubin (kuning) Maryam Al Khawla meningkat dua kali ganda berbanding hari sebelumnya, selain menunjukkan simptom fizikal yang ketara.

“Bacaan kuning meningkat dua kali ganda berbanding semalam (Rabu). Mata sudah kelihatan kuning dan perut juga semakin membesar.

“Doktor menggunakan dos rendah ubat tidur, namun Khawla sangat lemah dan tidak aktif,” katanya.

Beliau memaklumkan, selepas prosedur transfusi darah dan pemberian imunoglobulin dilakukan, bilangan sel darah merah (RBC) serta platelet bayi itu menunjukkan peningkatan.

Tambah Sabrina, pendarahan dari mulut bayi berkenaan juga tidak lagi berlaku seperti sebelum ini, namun keadaannya masih terlalu lemah untuk dianggap stabil.

“Sudah 90 hari Khawla berjuang. Doakan Khawla terus kuat untuk melawan jangkitan kali keempat ini,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan pasangan berkenaan menyambut kelahiran bayi kembar tiga perempuan pada 24 Oktober 2025 di Hospital Melaka.

Ia selepas pasangan itu melakukan rawatan kesuburan in-vitro (IVF) tajaan Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) yang diasaskan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Kisah pasangan ini mendapat perhatian negara selepas tragedi kematian anak lelaki mereka, Muhammad Al Fateh Amri Mohd Fikry Amri, ketika berada dalam jagaan pengasuh di sebuah taska di Taman Kelemak Utama, Alor Gajah, pada September 2024. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast