JOHOR BAHRU – Bekalan darah di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini berkurangan tetapi kadar penggunaan kini agak tinggi.
Jurucakap pusat pendermaan darah HSA berkata, stok darah hospital itu sedang menunjukkan trend penurunan yang ketara sejak minggu lalu dan menjangkakan terus berkurangan pada bulan depan.
Jelasnya, ini kerana terdapat beberapa perayaan yang menjadi faktor penyumbang kepada penurunan pendermaan darah dalam kalangan orang ramai iaitu Thaipusam dan Tahun Baharu Cina.
Beliau tidak menolak trend penurunan bekalan darah ini dijangka berlarutan sehingga Hari Raya Aidilfiri.
“Jadi orang ramai diminta tampil menderma darah bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi dan melebihi daripada paras selamat.
“Bekalan ini perlu bagi menampung keperluan prosedur transfusi darah termasuk kes kemalangan, pembedahan dan sebagainya. Setakat ini bekalan semua jenis darah masih berkurangan,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, bagi HSA dianggarkan 65 peratus penderma darah adalah penderma darah konsisten dalam tempoh dua tahun ini.
“Jangan tunggu sehingga stok bekalan darah kritikal, satu beg darah anda mampu menyelamatkan tiga nyawa,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai diminta hadir ke Pusat Pendermaan Darah Statik iaitu di Pusat pendermaan darah HSA di Jalan Mahmoodiah bermula pukul 8 hingga 4.30 bagi proses pendermaan darah.
“Bagi kempen derma darah bergerak di sekitar Johor Bahru dan beberapa daerah lain, boleh dapatkan maklumat tersebut di page kami Jadual Kempen Darah Johor BahruvPenderma boleh datang secara ‘walk-in’ tanpa perlu temujanji.
“Syarat bagi penderma darah adalah berusia 17 tahun hingga 60 tahun (penderma berumur 17 tahun perlu mendapat tandatangan kebenaran ibu bapa), berat badan 45 kilogram ke atas dan cukup tidur lima jam,” katanya.
Penderma juga katanya, perlu melepasi saringan ujian hemoglobin dan saringan daripada pegawai perubatan.- MalaysiaGazette
















