KUALA LUMPUR – Perluasan biasiswa anak e-Kasih Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada 10,000 pelajar miskin tegar yang akan dilaksanakan di bawah Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 akan memperkasakan lagi ekosistem pendidikan di negara ini.
Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim, peningkatan hampir dua kali ganda penerima manfaat itu diyakini mampu memberi peluang pendidikan lebih tinggi kepada anak-anak daripada keluarga miskin tegar.
Sehubungan itu katanya, PTPTN amat menghargai dasar tersebut dan komited untuk bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan.
Ini bagi memastikan manfaat yang dirancang dapat disampaikan secara berkesan dan menyeluruh kepada golongan sasar.
“Peningkatan hampir dua kali ganda bilangan penerima manfaat ini diyakini mampu memberi peluang pendidikan kepada anak-anak daripada keluarga miskin tegar untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Langkah ini sekali gus memutuskan rantaian kemiskinan melalui pendidikan sebagai pemangkin utama mobiliti sosial dan pembangunan modal insan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu dalam pembentangan Belanjawan 2026 pada 10 Oktober tahun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan inisiatif biasiswa/pendidikan percuma PTPTN melibatkan 5,800 anak-anak keluarga miskin yang mengikuti pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dengan peruntukan RM120 juta setahun.
Menerusi pengumuman terkini di bawah RPTM 2026-2035, jumlah penerima inisiatif biasiswa/pendidikan percuma PTPTN ini telah ditingkatkan kepada 10,000 orang pelajar daripada keluarga miskin tegar dalam data e-Kasih.
Menurut PTPTN, pengumuman terbaharu itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memastikan akses kepada pendidikan tinggi yang inklusif, saksama dan berkualiti dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat, khususnya golongan miskin tegar yang berdepan dengan kekangan kewangan dan cabaran sosioekonomi.
















