Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh

PUTRAJAYA – Kerajaan menetapkan kadar caj maksimum tapak Bazar Ramadan di bawah kendalian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada RM400, berbanding RM500 tahun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, langkah itu diumumkan selaras dengan penambahbaikan menyeluruh penganjuran Bazar Ramadan untuk melindungi kebajikan penjaja serta memastikan tadbir urus lebih tersusun, telus dan adil.

“Sesi libat urus telah diadakan pada bulan Oktober, November, Disember oleh mantan menteri wilayah. Selepas post-mortem tersebut, dapatan utama hasil post-mortem, pelaksanaan tahun lepas telah dikenal pasti iaitu dua kesukaran.

“Satu, pelaksanaan permohonan secara terbuka dan penawaran petak melalui proses undian telah menyebabkan penafian hak penjaja berlesen sedia ada di beberapa lokasi bazar.

“Bermaksud kalau mereka ada di tapak komersial A, peniaga sedia ada tetapi melalui undian, mereka dapat lokasi yang jauh sangat. Yang itu masalah pertama.

“Yang keduanya, wujud ketidakpuasan hati dalam kalangan persatuan penjaja kerana mereka tidak dapat membantu ahli-ahli persatuan mereka yang telah sedia ada berniaga di beberapa lokasi tapak bazaar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media berkenaan Bazar Ramadan dan Aidilfitri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Jelas beliau, bagi tahun ini, DBKL kembali melaksanakan model pengurusan hibrid, sebagai pihak bertanggungjawab terhadap kawal selia, pelesenan dan penguatkuasaan, manakala persatuan penjaja mengurus operasi harian di tapak bazar terpilih.

“Tiga persatuan utama yang terlibat ialah Pertubuhan Pasar Malam Kuala Lumpur (PMKL), Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga-Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan (PPPKMWP) serta Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PPPBWPKL).

“Kadar caj maksimum RM400 itu wajib dipatuhi oleh semua pihak, termasuk persatuan penjaja, bagi mengelakkan beban kewangan tidak munasabah dikenakan ke atas peniaga kecil,” jelasnya.

Tegas beliau lagi, sebarang amalan sublet, jual beli tapak atau pengambilan keuntungan berlebihan adalah dilarang sama sekali dan tindakan penguatkuasaan tegas akan diambil tanpa kompromi, termasuk terhadap penganjur. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast