KUALA LUMPUR – Polis menahan dua lelaki warga asing dalam dua operasi berasingan yang dijalankan di sekitar Tawau, Sabah selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata tangkapan pertama melibatkan seorang lelaki berusia 35 tahun di sekitar Jalan Kampung Haji Matahir semasa pihaknya melakukan rondaan cegah jenayah.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan, polis telah menemui sepaket plastik lutsinar yang berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dianggarkan seberat 0.21 gram dalam milikan suspek.
“Suspek bersama barang rampasan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan semalam.
Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 12(3) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952
Sementara itu, tangkapan kedua pula dilakukan di kawasan kaki lima kedai di Jalan Chen Fook, Sabindo pihaknya mengesan seorang lelaki warga asing berusia 46 tahun dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan ke atas suspek menemukan satu paket plastik lutsinar berisi hablur jernih disyaki syabu seberat kira-kira 0.20 gram yang disimpan di dalam kotak rokok.
“Suspek turut dibawa ke balai polis bersama barang rampasan dan kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















