Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil bercakap kepada wartawan ketika sidang media di Kementerian Komunikasi, Putrajaya.

PUTRAJAYA – Kerajaan bersetuju untuk menarik balik Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUUPSB) bagi membolehkan ia ditambah baik sebelum dibentangkan semula di Parlimen.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata,  langkah itu susulan keperluan mewujudkan kerangka undang-undang yang lebih adil dan tuntas dalam menangani isu pembaharuan bandar, khususnya melibatkan golongan miskin bandar.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai pandangan dan maklum balas yang diterima termasuk daripada ahli Parlimen semasa perbahasan di Dewan Rakyat.

“Kerajaan mahu memastikan rang undang-undang berkenaan benar-benar bersifat inklusif dengan memasukkan sebanyak mungkin cadangan yang munasabah ke dalam draf baharu.

“Sehubungan itu, Jemaah Menteri bersetuju supaya draf sedia ada RUUPSB ditarik balik dan diperhalusi melalui pindaan serta penambahan tertentu sebelum dibentangkan semula pada satu tempoh yang akan dimaklumkan kelak,” katanya pada sidang media mingguan di kementeriannya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, draf baharu tersebut kemudiannya akan dikemukakan semula ke Parlimen dalam bentuk yang lebih komprehensif.

Beliau menjelaskan, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming turut memaklumkan pihak UMNO telah mengemukakan sejumlah cadangan berkaitan RUU berkenaan dan sebahagian besar daripadanya dijangka dimasukkan ke dalam draf baharu.

Langkah itu katanya, selari dengan hasrat kerajaan untuk memperkukuh rangka undang-undang tersebut selepas meneliti maklum balas daripada pelbagai pihak termasuk Ahli Dewan Rakyat.

Katanya lagi, proses penyediaan draf undang-undang yang baharu akan diteruskan dengan penglibatan Jabatan Peguam Negara, namun draf berkenaan perlu terlebih dahulu dibentangkan dan dibincangkan di peringkat Jemaah Menteri.

Justeru katanya, proses berkenaan dijangka mengambil sedikit masa sebelum dimuktamadkan.

Sebelum ini, RUU PSB telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Kor Ming dengan tujuan memastikan kawasan perumahan lama yang uzur, daif dan usang dapat dibangunkan semula secara lebih terancang, adil dan inklusif demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan bandar yang mampan.

Bagaimanapun, pembentangan bacaan kedua rang undang-undang itu ditangguhkan selepas beberapa ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menyuarakan hasrat supaya ia diteliti semula dengan mengambil kira kebimbangan pelbagai pihak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast