KUALA LUMPUR – Persatuan Majikan Industri, Komersial dan Perkhidmatan Malaysia (MICSEA), mengingatkan syarikat supaya mematuhi sepenuhnya peruntukan undang-undang buruh berkaitan kelayakan cuti umum susulan pertindihan sambutan Hari Wilayah Persekutuan dan Thaipusam pada 1 Februari ini.
Presiden MICSEA, YK Lai menegaskan, majikan mesti mematuhi keperluan statutori bagi memastikan pekerja menerima cuti bergaji yang menjadi hak mereka.
“Peringatan ini selaras dengan nasihat yang dikeluarkan oleh Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) serta pekeliling Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) bertarikh Disember 2025,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menjelaskan, Hari Wilayah Persekutuan merupakan salah satu daripada lima cuti umum mandatori bagi pekerja di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, yang tidak boleh digantikan dengan hari lain.
Oleh itu, majikan di Wilayah Persekutuan diwajibkan oleh undang-undang untuk memberikan cuti bergaji sempena Hari Wilayah Persekutuan, tegas beliau.
Bagi perayaan Thaipusam pula, ia merupakan cuti umum peringkat negeri di Johor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Perak, Selangor serta Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi tahun 2026.
Di bawah Seksyen 60D(1)(a) Akta Kerja 1955, setiap pekerja berhak dapat 11 hari cuti umum bergaji setahun, termasuk lima cuti umum mandatori.
Sehubungan itu, mana-mana syarikat yang mengiktiraf semua cuti umum yang diwartakan di bawah terma pekerjaan atau perjanjian kolektif, cuti bagi kedua-dua Hari Wilayah Persekutuan dan Thaipusam hendaklah diberikan.
“Apabila cuti-cuti ini jatuh pada tarikh yang sama, majikan dikehendaki menyediakan cuti gantian pada hari bekerja berikutnya,” jelas beliau.
Sekiranya 1 Februari jatuh pada hari Ahad yang juga merupakan hari rehat mingguan, cuti gantian bagi Hari Wilayah Persekutuan jatuh pada 2 Februari, manakala cuti gantian Thaipusam pada 3 Februari.
Bagi syarikat yang menganggap Ahad sebagai hari bekerja biasa, cuti sebenar adalah pada 1 Februari, manakala cuti gantian hendaklah diatur mengikut dasar syarikat.
Lai turut mengingatkan pekerja yang dikehendaki bekerja pada hari cuti umum berhak menerima bayaran cuti umum seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang.
Syarikat yang tidak memasukkan Thaipusam sebagai cuti umum dalam terma pekerjaan atau perjanjian kolektif tidak diwajibkan untuk memberikan cuti tersebut atau cuti gantian.
Katanya, di Labuan, hanya Hari Wilayah Persekutuan terpakai.
Lantaran itu, MICSEA menasihatkan majikan agar memaklumkan lebih awal kepada para pekerja dan rakan perniagaan mengenai pengaturan cuti yang akan datang.
“Pekerja digalakkan dimaklumkan lebih awal, termasuk tarikh cuti gantian, manakala pelanggan dan rakan niaga perlu diberi maklumat mengenai sebarang perubahan sementara pada waktu bekerja atau operasi. Dasar cuti yang jelas, seperti yang dinyatakan dalam kontrak pekerjaan atau perjanjian kolektif, akan membantu mengelakkan kekeliruan.
“Majikan yang berkomunikasi dengan berkesan mengenai pengaturan ini akan memastikan hak pekerja terpelihara dan operasi perniagaan berjalan lancar semasa pertindihan cuti umum,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















