Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil bercakap pada sidang media mingguan di Kompleks Kementerian Komunikasi, Putrajaya.

PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meneliti dan mempercepatkan persiapan pelaksanaan Rancangan Pendidikan Negara, khususnya melibatkan prasekolah lima tahun dan Tahun Satu bagi kanak-kanak berusia enam tahun, termasuk aspek pendanaan, penyediaan guru serta pembinaan bilik darjah baharu.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, arahan itu dibuat selepas perdana menteri meneliti maklum balas susulan pengumuman dan peluncuran rancangan berkenaan dengan penekanan terhadap kesiapsiagaan sistem pendidikan bagi menghadapi kemungkinan kemasukan murid berusia enam dan tujuh tahun secara serentak pada tahun hadapan.

Menurut beliau, Kementerian Kewangan (MOF) turut diminta meneliti proses pendanaan agar dapat dipercepat mengikut tatacara yang rapi, selain kerjasama rapat antara KPM dan Kementerian Kerja Raya (KKR) khususnya Jabatan Kerja Raya (JKR), bagi menyiapkan bilik darjah baharu menggunakan sistem Sistem Binaan Perindustrian (IBS).

“Kerjasama yang baik dengan pihak JKR amat penting bagi memastikan pembinaan bilik darjah dapat dilaksanakan dengan cepat dan teratur,” katanya yang juga Menteri Komunikasi pada sidang mingguan di kementeriannya di sini hari ini.

Pada masa sama beliau berkata, persediaan guru perlu diperkukuhkan melalui Institut Pendidikan Guru (IPG), bukan sahaja bagi menampung pertambahan murid Tahun Satu, malah memenuhi permintaan institusi seperti Maahad Tahfiz yang memerlukan guru, khususnya bagi Tingkatan Satu ke atas, sebagai persiapan pelajar menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi mata pelajaran bahasa Melayu dan Sejarah.

Fahmi menambah, Perdana Menteri turut mengarahkan penyelarasan antara KPM dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melibatkan pengurusan SPM, Tingkatan Enam serta laluan pendidikan seterusnya, termasuk bagi pelajar aliran Tahfiz dan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).

“Ini bagi memperjelaskan laluan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seperti yang telah diumumkan sebelum ini oleh kerajaan,” jelasnya.

Sehubungan itu, katanya, KPM dan KPT akan mengeluarkan kenyataan lanjut dan dijangka mengadakan sesi taklimat bersama rakan-rakan media pada minggu hadapan bagi memberikan penjelasan yang lebih terperinci mengenai perkara tersebut.

Pada Selasa lalu, prdana menteri mengumumkan
bermula tahun depan, pendidikan prasekolah akan bermula pada usia lima tahun, sementara Tahun Satu pula bermula pada usia enam tahun.

Bagaimanapun beliau menjelaskan, perubahan masih belum diwajibkan kepada ibu bapa bagi memberi ruang kepada pelbagai pihak bersedia kepada persekitaran baru pendidikan, khususnya warga pendidik. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast