Feri Pulau Pinang.

GEORGE TOWN –  Penumpang warganegara Malaysia boleh menikmati perkhidmatan feri percuma selama dua hari pada 31 Januari dan 1 Februari ini sempena sambutan perayaan Thaipusam.

Pengerusi SPPP, Datuk Yeoh Soon Hin berkata, tambang percuma itu melibatkan perjalanan dua hala dari Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH), Butterworth ke Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU) di sini dan sebaliknya, dengan lanjutan perkhidmatan sehingga jam 3 pagi pada 2 Februari.

“Feri akan beroperasi dari jam 12 tengah malam hingga 11.30 malam pada 31 Januari dan 1 Februari, manakala pada 2 Februari dari jam 12 tengah malam hingga 3 pagi.

“Orang ramai dinasihatkan untuk merancang perjalanan lebih awal dan merujuk jadual feri terkini melalui laman sesawang serta media sosial rasmi SPPP dan PPSB,” katanya dalam kenyataan di sini.

Soon Hin berkata, pelaksanaan perkhidmatan feri percuma itu mencerminkan komitmen berterusan SPPP dan PPSB dalam memudahkan pergerakan rakyat Malaysia, khususnya ketika musim perayaan.

“Inisiatif itu juga bertujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas di Pulau Pinang selain menggalakkan penggunaan pengangkutan awam yang lebih lestari dan efisien.

“Melalui tawaran perkhidmatan feri percuma ini, pengguna akan menikmati penjimatan perjalanan sehala sebanyak RM2 bagi penumpang pejalan kaki dan RM2.50 bagi kenderaan dua roda,” katanya.

Mengulas statistik penggunaan feri, Soon Hin berkata, seramai 25,670 penumpang pejalan kaki dan 7,993 kenderaan dua roda direkodkan menggunakan perkhidmatan feri bagi perjalanan dua hala sempena sambutan Thaipusam tahun lalu dalam tempoh tiga hari iaitu pada 10, 11 dan 12 Februari.

“Jumlah itu menyumbang kepada keseluruhan penumpang feri pada tahun lalu iaitu 3.13 juta penumpang pejalan kaki dan 784,065 kenderaan dua roda.

“Selain itu, sempena inisiatif feri percuma Thaipusam serta sambutan ulang tahun ke-70 penubuhan SPPP tahun ini, SPPP turut menaja program kemasyarakatan menerusi kempen ‘Kids Go Free | Thaipusam Special’ di Muzium Feri Pulau Pinang.

“Program itu membolehkan kanak-kanak warganegara Malaysia berumur 12 tahun dan ke bawah menikmati kemasukan percuma ke Muzium Feri Pulau Pinang sepanjang tempoh perayaan dari 31 Januari hingga 2 Februari,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast