Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki

PUTRAJAYA – Dana pelaburan hampir RM300 juta yang dikutip antara 2021 hingga 2024 daripada kira-kira 1,700 pelabur bagi tujuan pelaburan disyaki digunakan untuk tujuan lain mendorong Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka dua kertas siasatan.

Siasatan awal mendapati dana berkenaan dikumpulkan kononnya untuk pelaburan melibatkan dua syarikat namun semakan mendapati wang yang dikutip dipercayai telah diseleweng dan dibelanjakan tidak mengikut perjanjian dimeterai dengan para pelabur.

Susulan itu, SPRM menahan dua individu bagi membantu siasatan serta menjalankan penggeledahan di lima premis sekitar Lembah Klang pada 21 dan 22 Januari lalu.

Menurut sumber, siasatan turut memfokuskan peranan seorang individu bergelar Tan Sri yang disyaki menggunakan kedudukan serta pengaruhnya untuk menarik minat pelabur dan meyakinkan orang ramai menyertai skim pelaburan berkenaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan siasatan kini menumpukan kepada penjejakan aliran kewangan yang dipercayai diseleweng bagi tujuan pemulihan aset.

Beliau berkata, proses berkenaan melibatkan kepakaran Bahagian Analisis Kewangan SPRM serta Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram bagi mengenal pasti pergerakan dana dan pihak yang terlibat.

“Setakat ini, sebanyak 14 akaun milik individu dan syarikat telah dibekukan dengan SPRM masih menunggu maklum balas institusi perbankan berhubung baki akaun-akaun terbabit.

“SPRM tidak menolak kemungkinan lebih banyak akaun akan dibekukan selepas proses menjejaki aliran wang selesai dilaksanakan,” ujarnya.

Suruhanjaya itu menegaskan siasatan akan dijalankan secara profesional dan tegas memandangkan kes berkenaan melibatkan jumlah wang yang besar serta kepentingan awam. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast